ATHENS – Sebuah pesawat syarikat penerbangan tambang murah, Ryanair, yang terbang dari Poland ke Greece diiringi oleh jet-jet pejuang selepas menerima ancaman bom, lapor akhbar Metro UK semalam.
Pesawat Boeing 737-800 yang membawa 190 orang dari Katowice itu mendarat di lapangan terbang El. Venizelos, Athens selepas diiringi dua jet pejuang pada pukul 5.35 petang (waktu tempatan).
Jurucakap lapangan terbang berkata, semua orang di dalam pesawat itu berada dalam keadaan selamat, lapor laman berita penerbangan, AirLive.
Jet-jet pejuang Hungary mengiringi pesawat itu sehingga tiba di Macedonia Utara sebelum ia diiringi oleh dua jet tempur F-16 tentera Greece sehingga mendarat di Athens.
Polis dan bomba mengepung pesawat itu selepas ia mendarat di tempat terpencil lapangan terbang dan diperiksa oleh skuad pemusnah bom, lapor agensi berita Greece, ANA.
Tidak jelas dari mana ancaman bom itu dibuat tetapi ia dipercayai diterima sejurus selepas pesawat itu meninggalkan Poland. – Agensi