PETALING JAYA – Menerima komen pedas daripada juri tetap, Mas Idayu, penyanyi Sissy Imann meminta maaf sekiranya nyanyiannya pada konsert Famili Duo malam tadi mengecewakan ramai pihak.
Kata Sissy, 28, kritikan tersebut menyedarkan dirinya tentang kemampuan diri sebagai seorang penyanyi.
“Muzik sentiasa menjadi cinta pertama saya. Benar, dalam bidang seni, sedar diri dan ruang itu perlu ada.
“Mungkin saya tidak menyedarinya atau tidak cukup untuk menyedarinya,” katanya dalam satu entri Instagram.
Impak lebih teruk, bekas peserta Big Stage musim kedua itu mengakui momen hitam yang berlaku malam tadi membuatkan dirinya berasa tidak lagi disayangi muzik.
“Saya tidak pernah melihat diri sendiri berhenti daripada bermain muzik.
“Namun malam ini (semalam) membuatkan saya rasa sesuatu yang sudah dipelajari dan dicintai sejak umur lima tahun tidak lagi menyayangi diri saya,” luahnya.
Pemilik nama penuh Sissy Imann Mohammad Kamil itu juga tidak menyangka muzik dan nyanyian yang dicintainya mengecewakan ramai pihak.
“Tidak terlintas dalam fikiran bahawa sesuatu yang sangat saya sayangi, akhirnya melukakan hati ramai orang dengan nyanyian saya yang teruk.
“Saya minta maaf semua,” ungkapnya.
Pada konsert minggu keenam Famili Duo malam tadi, Sissy dan pasangan penyanyinya, Naim Daniel yang menyanyikan lagu Jampi milik Hael Husaini dalam irama keroncong menerima kritikan pedas daripada Mas Idayu.
Dalam komennya, Mas Idayu tidak menyukai persembahan pasangan berkenaan serta berpendapat nyanyian Sissy dan Naim terlalu kasar untuk irama keroncong.
Perkara tersebut turut mendapat pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya kurang bersetuju dengan cara kritikan penyanyi lagu Selangit itu.
“Sepatutnya komen perlu membina dan memberi tunjuk ajar. Bukan begitu caranya,” komen netizen.
“Tidak mengapalah Naim dan Sissy, ambil komen juri sebagai pengajaran,” ujar seorang pengguna TikTok. – KOSMO! ONLINE