fbpx

Pemandu kenderaan di politeknik terlibat sindiket edar ganja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Shuhaily menunjukkan dadah jenis ganja yang dirampas dalam beberapa serbuan di Pulau Pinang, baru-baru ini.

GEORGE TOWN – Tujuh lelaki tempatan termasuk seorang pemandu kenderaan di sebuah politeknik ditahan di beberapa lokasi berasingan di Pulau Pinang dan Changkat Jering, Perak selepas dipercayai terlibat sindiket pengedaran ganja, 19 Januari lalu.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas 840.729 kilogram (kg) ganja termasuk ganja ‘premium’ yang berkualiti tinggi bernilai RM2.10 juta yang dipercayai dibawa masuk dari negara jiran.

Selain pemandu terbabit, kesemua suspek yang berusia 24 hingga 29 tahun itu bekerja sebagai jurutera, juruteknik komputer, peniaga dalam talian dan penganggur.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd.Shuhaily Mohd. Zain berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Pulau Pinang telah melancarkan operasi terancang berkaitan aktiviti pengedaran ganja di kawasan Timur Laut dan Barat Daya.

“Menerusi serbuan pertama di Plaza Tol Bagan Ajam, Butterworth pada 19 Januari, kira-kira 6.45 pagi, pihak polis berjaya menahan tiga lelaki yang sedang menaiki kereta jenis Perodua Myvi.

“Polis kemudian membawa ketiga-tiga suspek ini ke kawasan parkir kereta di Bukit Jambul pada pukul 7.10 pagi dan di sini polis menemui beberapa ketulan mampat ganja seberat 479.72 kilogram di dalam sebuah kereta jenis Ford bernilai RM1.1 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini hari ini.

Menurut Mohd. Shuhaily, polis kemudian menahan tiga lagi suspek di dalam sebuah kereta di Plaza Tol Changkat Jering kira-kira pukul 7.44 pagi hari sama dan tiada sebarang dadah ditemui.

“Tangkapan suspek terbabit telah membawa polis ke kawasan di tepi jalan Persiaran Mahsuri, Bayan Baru pada pukul 2 petang dan memeriksa telah sebuah kereta yang diletakkan di situ.

“Di dalam kereta ini, kita menemui dadah jenis ganja yang disimpan di dalam 10 guni plastik mengandungi 361 kg ganja namun tiada tangkapan dibuat di sini,” katanya.

Beritahunya lagi, polis seterusnya menyerbu sebuah rumah di Air Itam dan menahan seorang lelaki iaitu suspek ketujuh pada pukul 3.20 petang.

“Secara keseluruhannya, dalam operasi ini, polis berjaya merampas ganja seberat 840.729 kilogram bernilai RM2.10 juta dan hasil risikan mendapati dadah ini adalah untuk pasaran tempatan.

“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ini boleh digunakan oleh 1.8 juta orang dan kesemua tangkapan ditahan reman selama tujuh hari bermula 20 Januari lalu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya sindiket terbabit dipercayai aktif sejak tahun lalu. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI