MELAKA – Mangsa insiden pokok tumbang di Zoo Melaka di sini semalam meluahkan rasa kecewa dengan tahap penyelenggaraan taman haiwan berkenaan dan menyerahkan keputusan berkaitan pampasan kepada suaminya.
Menurut Ruziana Bustaman, 40, dia masih trauma selepas seorang anak kembarnya yang dikurniakan selepas lapan tahun penantian cedera di kepala, manakala dia pula retak di pinggul.
Turut cedera dalam insiden itu ialah rakannya yang patah kaki.
“Saya dan suami (Mohd. Fazli Sukree) serta anak-anak iaitu Muhammad Fattah Denish dan Muhammad Fatteh Denish (berusia enam tahun) berkunjung ke Zoo Melaka bersama rakan-rakan yang kesemuanya berjumlah 15 orang.
“Ketika kejadian, saya memegang anak pertama, manakala kembarnya dipimpin pembantu rumah. Suami pula berada jauh sedikit di belakang kami.
“Setibanya di pameran harimau, sebatang pokok tumbang dan menimpa kami. Mujur dahan yang jatuh dan saya hanya mengalami lebam di kepala,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Ruziana berkata, dia sempat mendengar bunyi rekahan dahan dan jeritan anaknya meminta tolong.
“Saya menjerit Allah, kemudian dengar anak jerit ‘ibu tolong’, saya cuba hendak bangun tetapi tidak dapat sebab pinggul retak.
“Mujur anak selamat, orang memang senang minta maaf, tetapi saya yang mengalaminya. Lapan tahun kami tunggu dikurniakan anak. Saya memang tidak berpuas hati dengan keadaan pokok-pokok di situ seperti tak dijaga, jadi saya serahkan isu pampasan kepada suami,” katanya.
Ruziana kini dipindahkan ke Hospital Pakar KPJ Kajang untuk menerima rawatan lanjut. – KOSMO! ONLINE