KUALA LUMPUR – Penganjur Hitman Solutions dan Happymoon mengesahkan kesemua anggota kumpulan Blue akan hadir bagi menjayakan konsert Blue 20th Anniversary Heart & Soul pada 10 Februari depan meskipun salah seorang ahlinya berdepan kes mahkamah.
Lee Ryan berdepan kes mahkamah di United Kingdom (UK), namun pengasas Happymoon, Kesavan Purusotman mengesahkan bahawa keempat-empat anggota kumpulan tersebut akan menjalankan konsert seperti yang dirancang.
“Kami sedia maklum tentang kes mahkamah yang dihadapi oleh seorang anggota Blue, tetapi perkara tersebut tidak menganggu perjalanan konsert mereka.
“Malah, pihak pengurusan Blue juga memberikan jaminan bahawa kesemua ahli akan hadir menjayakan konsert pada Februari kelak.
“Jadi, tiada apa-apa perubahan setakat ini dan konsert akan berlangsung seperti yang dirancang,” katanya kepada Kosmo! Online ketika sidang akhbar Blue 20th Anniversary Heart & Soul Tour baru-baru ini.
Jika perkara sebaliknya berlaku, penganjur konsert tetap akan meneruskan perancangan dengan kehadiran tiga orang ahli sahaja.
“Sejujurnya, ini merupakan konsert berkumpulan. Contohnya seorang tidak dapat hadir, tiga ahli lain akan menyokong persembahan tersebut.
“Dijangka memang semua empat ahli akan turun kerana bukan sahaja datang ke Malaysia tetapi jelajah di Indonesia, Filipina, Singapura dan seluruh Emiriyah Arab Bersatu (UAE),” ujarnya.
Dalam pada itu, pengasas Hitman Solutions, Rohit Rampal sangat berharap tiket habis dijual walaupun ramai orang sudah berbelanja besar bagi musim perayaan.
“Kami terima banyak pertanyaan daripada peminat dan mereka sangat berminat untuk membeli tiket kategori VIP dan Gold.
“Meskipun ramai sudah mengeluarkan wang untuk musim perayaan dan ingin menyimpan duit tetapi kami berharap peminat membeli tiket konsert pada saat akhir.
“Kami juga ingin berterima kasih kepada media sosial yang membuatkan konsert ini menjadi bualan ramai walaupun dengan lambakan acara lain di Malaysia,” tuturnya.
Konsert Blue 20th Anniversary Heart & Soul akan diadakan di Dewan Plenary KLCC, Kuala Lumpur pada 10 Februari kelak.
Tiket konsert telah mula dijual bermula 4 Januari lalu dan pembelian masih lagi dibuka menerusi laman web www.hitmanlive.com atau hubungi Keeran D di talian 012-8870669. – KOSMO! ONLINE