KUALA LUMPUR – Kemelut rumah tangga Puteri Sarah Liyana Kamaruddin yang diperkatakan ramai turut singgah ke negara seberang sehingga meraih perhatian komposer dan pemuzik Indonesia, Ade Govinda untuk menggarap kisah duka pelakon itu dalam nukilan lagu.
Ade yang juga teman baik penyanyi Cakra Khan mendedahkan menerima kiriman mesej peminat Malaysia yang memberi cadangan supaya menghasilkan karya inspirasi cerita mengenai aktres tersebut.
“Jumlah mention (sebut) dalam Instagram dan TikTok sangat banyak untuk lagu ini di konsert kelmarin (Cakra Khan). Semoga kalian selalu menikmati karya saya.
“Bersyukur sekali rasanya karya kita diapresiasi sehebat ini di negara orang, juga di barisan penonton ada Puteri Sarah yang katanya suka dengan lagu Hal Hebat.
“Hidup akan pasti lebih indah depan sana. Jangan persiakan orang yang pernah tulus, ikhlas serta rela berkorban demimu dan mencintaimu.
“Bagaimana kalau saya buat lagu untuk Puteri Sarah. Setuju?” katanya menerusi Instagram dan beberapa hantaran susulan dalam Insta Story.
Terdahulu, kehadiran Puteri Sarah yang ditemani ibunya di Konsert Cakra Khan – A Decade Live in Kuala Lumpur pada Jumaat lalu menggamit perhatian khalayak terutama ketika lagu Hal Hebat dibawakan Cakra bersama Ade.
Seisi Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) gamat apabila kamera tertumpu pada wajah isteri kepada pengarah sensasi Syamsul Yusof itu ketika lagu galau tersebut didendangkan.
Malah momen yang turut dirakam ramai penonton terus tular sehingga ke Indonesia lantas mengundang komen dan kata-kata semangat kepada Puteri Sarah.
Rata-rata meluahkan rasa sebak dengan situasi rumah tangga dilalui wanita kuat itu yang terus kuat biarpun perkahwinannya sedang bergolak.
Sebelum itu, Puteri Sarah menerusi Instagramnya secara berseloroh turut mengajak Cakra dan Ade berkolaborasi bagi merealisasikan sebuah karya.
Ajakan tersebut nyata diterima pemain gitar kumpulan Govinda yang juga penulis lagu Datuk Seri Siti Nurhaliza, Terbaik Bagimu itu dengan hati terbuka.
“Yuk, jom,” katanya yang berharap kolaborasi diluahkan pelakon itu dapat direalisasikan dengan segera.
Puteri Sarah pula yang tampak teruja dengan maklum balas Ade ingin bertemu komposer tersebut sekembali dari mengerjakan ibadah umrah pada awal Februari nanti. – KOSMO! ONLINE