PETALING JAYA – Insiden ditegur Mas Idayu dalam pertandingan realiti Famili Duo malam tadi membuatkan penyanyi Sissy Imann berasa jauh hati.
Rasa kecewa yang mendalam mendorong pemilik nama sebenar Sissy Imann Mohammad Kamil itu membatalkan pelancaran album sulung yang sepatutnya berlangsung pada Februari depan.
Akuinya, sudah hilang rasa teruja untuk berkongsi naskhah yang dirakamkan di Abbey Road Studios, London itu, biarpun segala persiapan untuk majlis pelancaran sudah disempurnakan.
Malah berbanding mahu mengedarkan album berserta barangan premium seperti cawan dan baju T-shirt, dia mengambil keputusan akan mengagihkan buah tangan sulung yang dihasilkan dengan kos tinggi tersebut mengikut konsep derma.
“Tanggal 2 Februari adalah hari sepatutnya saya lancar cenderahati untuk album yang saya rakam tahun lepas di Abbey Road Studios. Cakera padat (CD) fizikal sudah selesai cetak, kita tengah cetak kole (mug), baju dan beberapa cenderahati lain.
“Kita siap rancang kumpul rakan-rakan media dan kawan-kawan rapat untuk sidang media serta kongsikan album yang saya buat dengan penuh kasih sayang.
“Tuhan sahaja yang tahu betapa terujanya saya, tetapi keterujaan itu mungkin sudah hilang. Pagi tadi bangun, bila nampak CD itu, saya rasa tidak boleh tengok tanpa rasa sedih. Jadi saya ‘lepaskan’ album ini sebagai sumbangan sahaja,” tulisnya menerusi Instagram.
Menurut penyanyi berusia 28 tahun itu lagi, penerbitan album tersebut sepenuhnya menggunakan wang simpanan hasil sedekad bekerja dalam industri muzik.
“Album ini memang telan banyak sangat kos dan semua saya tanggung sendiri atas duit cari makan selama hampir 10 tahun merangkak dalam industri.
“Asalnya nak jual RM50. Itupun tidak pulang modal, apatah lagi untung. Sumbangan bermula RM20. Saya minta maaf terpaksa letak harga untuk tampung sebahagian kos cetak dan pos.
“Terima kasih, semoga Allah merahmati anda semua,” luahnya penyanyi Mungkin Kamu itu.
Sementara itu, dalam ruangan komen, ramai rakan selebriti tidak ketinggalan meninggalkan kata-kata semangat, malah ramai ingin membeli album berkenaan.
“Nak beli tiga CD pada harga asal. Anda berharga. Jangan benarkan sesiapa pun rampas cinta dan semangat awak terhadap muzik,” kata rakan seperjuangan, Nana Sheme.
“Raikan perbezaan. Awak berbeza dan itu yang membuatkan awak istimewa,” kata penyanyi Ernie Zakri.
“Simpan saya dua salinan. Saya bayar RM500 CD awak. Tandatangan sekali ya,” kata penerbit popular, Md. Fadzil Teh atau Haji Zil.
Pada konsert minggu keenam Famili Duo malam tadi, Sissy dan pasangan penyanyinya, Naim Daniel yang menyanyikan lagu Jampi milik Hael Husaini dalam irama keroncong menerima kritikan pedas Mas Idayu.
Dalam komen berkenaan, juri profesional itu tidak menyukai persembahan pasangan berkenaan selain berpendapat nyanyian mereka terlalu kasar untuk irama keroncong.
Bagaimanapun, perkara tersebut turut mendapat pelbagai reaksi netizen yang rata-rata kurang bersetuju dengan cara kritikan penyanyi dangdut itu.
Situasi tersebut membuatkan Sissy berasa dirinya tidak disayangi muzik bahkan nyanyiannya mengecewakan ramai pihak. – KOSMO! ONLINE