PETALING JAYA- Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil mempersoalkan apakah niat Perikatan Nasional (PN) memberikan duit kepada pengundi sewaktu pilihan raya baru-baru ini dan menyeru Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyatakan sebabnya.
Menerusi hantarannya di Facebook, beliau turut meminta Setiausaha Agung Bersatu itu memberikan bukti kononnya PN tidak rasuah pengundi semasa pilihan raya agar rakyat membuat penilaian serta mengelakkan fitnah jika mereka berkata benar.
“Cuba cerita sikit apakah niat PN beri duit kepada pengundi sewaktu pilihan raya itu, Hamzah? Dan kamu kata kamu ada bukti kukuh yang PN kononnya tidak rasuah pengundi semasa pilihan raya lepas.
“Jika benar, nyatakanlah bukti kukuh tersebut supaya rakyat boleh menilai dan untuk mengelak fitnah jika kamu benar, dan jelaskan sekali berkenaan banyak video yang tular dan laporan polis yang dibuat berkenaan orang-orang PN beri duit kepada pengundi dan meminta penerima duit bersumpah atas nama Allah supaya undi Pas,” katanya.
Tambah Isham, menggunakan nama Allah untuk merasuah pengundi adalah sesuatu yang keji dan kemudian menipu untuk menutup amalan rasuah tersebut bukanlah sesuatu strategi yang baik kerana ia umpama menggali lubang yang lebih dalam untuk tanam diri sendiri.
“Usah memperguna dan menunggang agama untuk menghalalkan yang haram. Yang haram tetap haram. Allah maha mengetahui apa yang kamu dan rakan-rakan kamu buat. Bertaubatlah,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE