HULU TERENGGANU – Upacara akad nikah pasangan mempelai di Surau Darul Taqwa, Perumahan Kuala Telemong di sini semalam bertukar kecoh apabila jurunikah tiba-tiba jatuh pengsan.
Jurunikah yang dikenali sebagai Ayoh Ngoh Suf itu rebah sewaktu sedang membacakan khutbah nikah terhadap pasangan, Nadia Atiqah Abd Rahman, 26, dan Muhammad Khairul Nizam Md Zaid, 26, pada pukul 11 pagi.
Ahli keluarga pengantin perempuan, Aidie Amin Yatim berkata, situasi itu amat mengejutkan dan menyebabkan upacara pernikahan terbabit menjadi sedikit kelam-kabut.
“Kami segera menghantar jurunikah berusia lewat 70-an tersebut ke klinik kesihatan berhampiran untuk rawatan.
“Difahamkan dia mengalami tekanan darah tinggi dan keadaannya kini sudah semakin stabil,” katanya di sini hari ini.
Aidie Amin berkata, Ayoh Ngoh Suf dikatakan kurang sihat, tetapi tetap menggagahkan diri kerana tidak mahu menghampakan jemputan keluarga pengantin.
Jelasnya, jurunikah terbabit terkenal dalam kalangan penduduk tempatan kerana keunikan penyampaian khutbah nikah tanpa berpandu kepada teks semata-mata.
Dalam pada itu, Aidie Amin memberitahu upacara pernikahan Nadia Atiqah dan Muhammad Khairul Nizam yang tertangguh kira-kira setengah jam akhirnya berjalan lancar dengan jurunikah ganti. – KOSMO! ONLINE