fbpx

Anwar mampu cipta magis dalam kepimpinan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar.

GEORGE TOWN – Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu mencipta magis dalam kepimpinan negara.

Kon Yeow berkata, Anwar yang mempunyai latar belakang dan pengalaman luas dalam politik telah membuka lembaran baharu dalam pembentukan Malaysia Madani.

“Saya dan barisan kepimpinan kerajaan negeri akan terus menyokong visi dan dasar baharu yang dirumus oleh Perdana Menteri bagi mencipta lonjakan baharu kepada negara dan negeri.

“Berbekalkan latar belakang dan pengalaman yang beliau ada, kita percaya kepimpinan Perdana Menteri mampu mencipta magis kepada negara,” katanya ketika berucap dalam majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2023 di Spice Arena, di sini hari ini.

Dalam pada itu, menurut Kon Yeow, sambutan hari ini bukan sekadar meraikan Tahun Baharu Cina sebaliknya juga untuk meraikan kepelbagaian sambutan antaranya situasi Covid-19 yang semakin pulih.

“Situasi pada masa ini membolehkan kita kembali menjalani kehidupan seperti sedia kala, meraikan keadaan ekonomi yang menunjukkan perubahan positif dan lain-lain lagi.

“Kita juga meraikan penglibatan dan penyertaan masyarakat yang aktif dan sentiasa bersama dalam proses pemulihan dan yang paling utama adalah meraikan pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri untuk menerajui kepimpinan negara,” katanya.

Tambah beliau, selaras dengan misi dan visi Penang 2030, tumpuan kerajaan negeri masih kekal dalam agenda-agenda pemulihan ekonomi dan sosioekonomi pasca pandemik Covid-19 tanpa meminggirkan mana-mana pihak di negeri ini.

“Oleh itu, saya ingin mengajak semua pihak baik kerajaan atau swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pelbagai organisasi berasaskan komuniti dan seluruh rakyat untuk terus mengekalkan keharmonian serta ikatan perpaduan yang sedia terjalin ini,” katanya.

Selain itu, katanya, dengan kehadiran tahun arnab atau ‘water rabbit’, ketangkasan, kebijaksanaan, kelincahan serta kepantasan yang menjadi sifat semula jadi haiwan berkenaan menjadi pendorong dan panduan untuk meneruskan misi dan visi dalam meletakkan Pulau Pinang di mata dunia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI