PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan kategori waspada di lima negeri sehingga Rabu ini.
MetMalaysia menerusi kenyataan di laman sesawangnya berkata, lima negeri yang terlibat adalah Terengganu, Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak.
“Di Terengganu, kawasan yang terlibat adalah Dungun dan Kemaman manakala kawasan di Pahang adalah Kuantan, Pekan dan Rompin.
“Hujan berterusan juga diramalkan di Johor melibatkan kawasan Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru,” katanya.
Tambah MetMalaysia, cerapan cuaca di Sarawak mendapati, kawasan yang akan berdepan dengan cuaca buruk ini adalah Kuching, Serian, Samarahan, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri (Subis, Beluru, Miri dan Marudi).
Ujarnya lagi, di Sabah, kawasan yang diramal hujan berterusan pula adalah Pedalaman (Tambunan), Pantai Barat, Tawau (Lahad Datu), Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat.
Dalam pada itu, cuaca di seluruh negara pada pagi ini diramalkan dalam keadaan cerah dan baik ekoran tiada amaran hujan lebat dikeluarkan oleh MetMalaysia.
Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE