JOHOR BAHRU – Pengalaman keguguran sebelum ini terubat apabila pasangan muda menyambut kehadiran ‘orang baru’ dalam keluarga mereka pada hari istimewa.
Pasangan akauntan ini, George Chang Foh Chun, 31, dan isteri tercinta, Emily Lim Wan Yin, 29, menyambut kelahiran bayi lelaki pada 2.07 pagi di Hospital Pakar KPJ Puteri di sini.
Istimewanya, bayi sulung yang dijangka lahir 26 Januari lahir beberapa hari lebih awal pada sambutan Tahun Baharu Cina.
“Gembira sangat, tak sangka lahir pada Tahun Baharu Cina, tapi kami ada bercakap mengenainya.
“Semoga kelahirannya di tahun arnab ini adalah simbol umur panjang, keamanan dan kemakmuran dalam budaya Cina,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Bayi lelaki dilahirkan secara normal oleh Doktor Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Dr. Ding Kec Chuan.
Hospital Pakar KPJ Puteri merekodkan dua kelahiran pada Tahun Baharu Cina, hari ini.
Sementara itu, buat pasangan Rizal Razali, 33, dan Nor Atiqah Mohd Isa, 30, menyambut kelahiran anak ketiga.
Pasangan juruteknik dan jururawat itu berkata, jangkaan kelahiran anaknya tepat pada hari ini disambut oleh Doktor Pakar O&G, Dr. Laila Shikh A Rahman pada jam 8.31 pagi secara normal. – KOSMO! ONLINE