fbpx

‘Short stay ward’ tangani isu kesesakan di hospital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) akan memperkenalkan langkah ‘short stay ward’ (tinggal di wad dalam jangka masa pendek) bagi hospital yang mempunyai ruang sebagai salah satu usaha untuk menangani isu kesesakan di Jabatan Kecemasan.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, langkah tersebut telah pun dilaksanakan di beberapa buah hospital dan beliau juga mencadangkan agar kriteria itu ditambah baik bagi mengelakkan pesakit menunggu lama khususnya di Zon Kuning.

“Selain itu, sistem pengurusan katil pesakit juga akan terus diperkemas agar penggunaan katil di hospital-hospital dapat dikawal selia dan diurus dengan baik.

“Pada masa sama, KKM melalui Program Perubatan, Program Kesihatan Awam dan Program Penyelidikan dan Sokongan Teknikal di bawah Timbalan Ketua Pengarah masing-masing juga telah diminta menyemak serta menganalisa data di hospital dan Klinik Kesihatan bagi melihat keberkesanan pelaksanaan inisiatif seperti pelanjutan waktu bekerja di fasiliti-fasiliti tertentu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr. Zaliha berkata, KKM juga akan terus melihat kepada model kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan, kerajaan negeri, badan bukan kerajaan dan sektor swasta agar isu di Jabatan Kecemasan dapat ditangani dengan menyeluruh serta berkesan.

“Penyumberluaran dan kerjasama dengan sektor swasta misalnya telah banyak membantu semasa pandemik Covid-19 melanda dan model-model seperti ini akan dilihat secara lebih khusus termasuk kerjasama dengan Pengamal Perubatan Swasta.

“Digitalisasi sistem perkhidmatan kesihatan juga perlu dititikberatkan dan KKM akan terus komited menaik taraf sistem teknologi komunikasi maklumat (ICT) sedia ada kepada sistem digital yang berpotensi membantu mengatasi masalah yang wujud,” katanya.

Ujar beliau, banyak solusi dan intervensi digital dalam perkhidmatan kesihatan telah diperkenal di negara lain dan Malaysia harus mendokong aspirasi yang sama agar perkhidmatan kesihatan dapat berjalan dengan lebih efisien.

Tambah Dr. Zaliha, keperluan untuk mendapatkan lebih ramai tenaga kerja termasuk doktor, jururawat, penolong pegawai perubatan, pegawai farmasi, profession sains bersekutu, kakitangan sokongan dan lain-lain juga akan terus dilakukan.

“KKM akan bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan bagi mencari titik temu terbaik untuk menyelesaikan isu ini dalam jangka masa sederhana dan panjang.

“Banyak perkara yang telah kita pelajari semasa menghadapi pandemik Covid-19 dan KKM khususnya memahami bahawa bagi membina sebuah Sistem Kesihatan yang kukuh dan lestari bukanlah usaha bersendirian,” ujar beliau.

Mengulas lanjut, Dr. Zaliha berkata, penyelesaian jangka pendek, sederhana dan panjang bagi mengatasi isu kesesakan di Jabatan Kecemasan harus dirangka segera dengan semua pemegang taruh demi kebaikan rakyat dan sektor kesihatan negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI