BHUBANESWAR – Pengalaman dimiliki ketua jurulatih Sepanyol, Maximiliano Caldas menjadi taruhan pasukan ranking kelapan dunia itu berdepan Malaysia pada aksi cross over Piala Dunia Hoki 2023 di Stadium Kalinga petang ini.
Pengendali berusia 49 tahun itu adalah individu yang membimbing Belanda ketika membelasah skuad hoki negara 7-0 dalam aksi peringkat kumpulan pada Piala Dunia 2018 sebelum pasukannya muncul naib juara edisi tersebut.
Disebabkan itu, Caldas yang berasal dari Buenos Aires, Argentina berkeyakinan tinggi beliau mampu melakar kejayaan sama ke atas Malaysia biarpun membariskan skuad termuda dalam edisi kali ini
“Saya tidak mahu mengulas mengenai Malaysia kerana itu adalah tugas jurulatih mereka. Saya percaya ia akan menjadi satu perlawanan yang sukar kerana ini adalah aksi cross over.
“Kami tidak sabar bertemu pasukan yang berdisiplin dengan struktur pertahanan yang bagus. Sama ada menang atau kalah, mereka tetap bermain dengan permainan tersendiri.
“Namun, saya percaya dengan kemampuan para pemain. Ini adalah satu perlawanan yang menarik dan kami sudah bersedia menghadapi cabaran ini,” katanya selepas sesi latihan Sepanyol di Stadium Kalinga semalam.
Sebagai rekod, Red Sticks mara ke peringkat cross over sebagai pasukan ketiga terbaik Kumpulan D menerusi kemenangan 5-1 ke atas Wales dan dua kekalahan iaitu 0-2 kepada India dan 0-4 terhadap England. – KOSMO! ONLINE