fbpx

Peminat berasak, ‘histeria’ Ne-Yo campak kain lap peluh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NE-YO membuatkan para peminatnya bagai terkena 'histeria' pada konsert Ne-Yo Live In Malaysia di Plenary Hall, KLCC, malam tadi.

KUALA LUMPUR – Seramai 2,900 peminat bersesak-sesak menjadi saksi kehebatan konsert bintang antarabangsa, Ne-Yo pada konsert Ne-Yo Live In Malaysia di Plenary Hall, KLCC, malam tadi.

Konsert bermula seawal pukul 8.00 malam membuktikan aksi lincah dan istimewa bintang terkemuka dari Amerika Syarikat yang dibawakan khas oleh penganjur acara Hitman Solutions dan Happymoon itu masih berbisa.

Selain aksi menghiburkan, interaksi bersahaja namun ‘seksi’ dengan peminat serta kawalan pentas luar biasa, apa yang mencuri tumpuan pada malam tersebut adalah beberapa kali pemilik nama lengkap Shaffer Chimere Smith itu mencampakkan kain lap peluh dalam lambakan audiens sekali gus membuatkan peminat ‘histeria’.

‘Ne-Yo Live In Malaysia’ disaksikan oleh 2,900 peminat yang hadir memenuhi dewan Plenary Hall, KLCC, malam tadi. – HITMAN SOLUTIONS

Ne-Yo melontarkan kain lap peluh berona biru sebanyak dua kali dan ‘harta’ tersebut bertemu ‘tuan’ baharu peminat bertuah yang terus berteriak dan berseronok pada malam konsert.

Malam konsert dimulai oleh Ne-Yo dengan persembahan bertenaga menyanyikan lagu paling hit Miss Independent dan disusuli dengan She Knows, Because of You, One In A Million dan lain-lain.

Kemudian dia mempamerkan vokalnya yang mengasyikan melalui segmen akustik mendendangkan lagu Do You, Mad dan You Should Let Me Love You, diikuti dengan beberapa segmen lain memberi kepelbagaian mood persembahan ketika konsert.

Penonton dalam dewan terpaku selama kira-kira 80 minit sepanjang berlangsungnya persembahan kerana tiada momen kosong daripada Ne-Yo yang membawakan bukan sahaja lagu-lagu ciptaannya sendiri bahkan hasil ciptaan untuk artis-artis terkemuka yang lain mempamerkan sisi berbeza dirinya sebagai penulis lagu dan juga komposer berbakat.

Memainkan lagu ciptaannya untuk penyanyi lain seperti Take A Bow (Rihanna) dan Irreplaceable (Beyonce). Pada segmen terbabit, dia membiarkan audiens terpekik terlolong menyanyi dua hit ciptaan itu.

“Kalian dah dengar muzik saya sekurang-kurangnya 16 tahun. Sut saya dah basah. Jadi, saya tanggalkannya,” katanya ketika melakukan persembahan sekitar hujung nuansa konsert.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif & Pengasas Hitman Solutions, Rohit Rampal sangat berpuas hati dengan pelaksanaan konsert dan menyifatkannya sebagai satu pengalaman luar biasa.

“Luar biasa! Ne-Yo menjangkaui semua ekspektasi dengan memberikan persembahan yang penuh energetik dan mengimbau nostalgia peminat muzik R&B pada awal tahun 2000 yang turut menyanyikan bersama lagu-lagu kegemaran mereka ketika zaman muda-muda dahulu.

“Walaupun dewan konsert menyediakan tempat duduk, ini bukanlah penghalang bagi penonton untuk turut berdiri dan bergembira sepanjang berlangsungnya persembahan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI