fbpx

Pemandu lori kantoi seleweng 4,000 minyak diesel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang pegawai KPDN Pulau Pinang memeriksa tangki khas di bahagian belakang lori dalam serbuan di sebuah stesen minyak berhampiran Jalan Lebuh Raya Butterworth-Kulim petang semalam.

SEBERANG PERAI – Seorang pemandu lori ditahan bersama kira-kira 4,000 liter diesel bersubsidi yang dipercayai diseleweng dalam satu serbuan oleh pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang semalam.

Pengarah KPDN negeri, S. Jegan berkata, serbuan yang dianggotai lima pegawai penguat kuasa itu dijalankan di sebuah stesen minyak di Jalan Lebuh Raya Butterworth-Kulim (BKE) di sini, kira-kira pukul 4 petang.

Terdahulu katanya, kumpulan penguatkuasa telah menjejaki sebuah lori berwarna putih seberat lapan tan tanpa muatan yang kelihatan mencurigakan.

Menurut beliau, ketika ditahan, pemandu warga tempatan yang berusia dalam lingkungan 50 tahun itu didapati sedang mengisi minyak diesel.

“Siasatan lanjut mendapati, lori jenama Hino 500 itu mempunyai satu unit tangki besi khas yang berkapasiti 12,000 liter terletak di bahagian belakangnya yang digunakan untuk mengisi serta mengumpul minyak diesel (yang dibeli) dari stesen-stesen minyak.

“Anggaran keseluruhan nilai rampasan dan sitaan iaitu lori, (4,000 liter) diesel yang diseleweng, tangki besi, pam motor dan set hos serta satu unit telefon bimbit adalah RM56,500,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan dikenakan penalti sehingga RM1 juta atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Sementara itu katanya, bagi pertubuhan atau perbadanan, denda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya boleh dikenakan jika sabit kesalahan.

Sehubungan itu, Jegan mengingatkan mana-mana pihak yang cuba menyalahgunakan barang kawalan bersubsidi bahawa mereka boleh dikenakan tindakan tegas jika didapati bersalah.

“Dalam hal ini, KPDN Pulau Pinang amat mengalu-alukan sebarang maklumat atau aduan daripada orang awam berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi,” katanya.

Tambah beliau, aduan boleh disalurkan menerusi pelbagai kaedah termasuk portal e-aduan KPDN, aplikasi WhatsApp di nombor 019-279 4317 atau datang sendiri ke mana-mana pejabat KPDN terdekat. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI