fbpx

Medvedev ‘mangsa’ baharu tersingkir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MEDVEDEV gagal mengatasi Korda pada aksi pusingan ketiga, sekali gus tersingkir pada aksi Terbuka Australia kelmarin. – AFP

MELBOURNE – Bekas pemain nombor satu dunia, Daniil Medvedev mengakui dia sangat kecewa kerana gagal memberikan aksi terbaik, sekali gus menjadi punca utama dia tersingkir pada pusingan ketiga Terbuka Austra­lia kelmarin.

Bintang tenis Rusia itu meng­akui aksi longlai dan bergelut untuk bangkit pada set ke­dua menyebabkannya tumpas straight-set 7-6, 6-3, 7-6 ketika berdepan pemain Amerika Syarikat (AS), Sebastian Korda.

Pilihan ketujuh dari Rusia itu, yang mara ke final kejohanan pada 2021 dan 2022 dilihat gagal mengembalikan permainan terbaiknya, sebelum tumbang di tangan pemain berusia 22 tahun tersebut di Arena Rod Laver.

“Perlawanan seperti ini sukar kerana apa yang saya boleh katakan, dia (Korda) bermain pada tahap yang baik. Permainan saya tidaklah terlalu teruk cuma di bawah tahap permainan saya sebelum ini.

“Mungkin saya tidak dapat temui keyakinan dan seolah-olah saya tidak berada pada perlawanan ini. Jurang mata juga tipis dan pastinya dia lebih baik berbanding saya.

“Sekarang ini saya sedang bergelut untuk memenangi perlawanan terutama ketika menentang lawan yang boleh bermain pada tahap yang baik. Jadi, saya perlu segera cari rentak kemenangan semula,” katanya.

Pada saingan tersebut, Medvedev dilihat menerima rawatan pada tangan kanannya semasa perlawanan, tetapi mengakui kecederaan itu tidak serius walaupun menjejaskan permainannya.

“Sebenarnya, kecederaan tersebut sedikit mengganggu pukulan servis saya. Jadi, ia tidak mudah kerana anda perlu berhati-hati ketika ingin melakukan pukulan balas. Saya harap kecederaan ini tidak terlalu serius,” ujarnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI