fbpx

Krisis kebuluran terburuk Korea Utara mungkin berulang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar yang dirakam pada 22 November 2017 menunjukkan penduduk menarik troli bagi mengangkut sayur kobis di Hamhung. - AFP

PYONGYANG – Satu laporan terbaharu mendapati bahawa Korea Utara sedang mengalami tempoh kekurangan bekalan makanan paling buruk sejak krisis kebuluran besar-besaran melanda negara itu hampir 30 tahun lalu, lapor agensi berita United Press International (UPI) kelmarin.

Laporan yang dikeluarkan Khamis lalu oleh laman web pemantau Amerika Syarikat (AS), 38 North, menganalisis data daripada beberapa sumber termasuk Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Jabatan Pertanian AS dan saluran berita bebas, Daily NK.

Ia menyatakan bahawa salah urus ekonomi, kesan pandemik Covid-19 dan lonjakan harga makanan global sebagai punca negara tersebut sedang menghadapi krisis itu.

Selain itu, ia turut menyimpulkan bahawa imbangan bersih bijirin Korea Utara telah jatuh di bawah keperluan minimum manusia.

“Bekalan makanan berkemungkinan jatuh di bawah paras minimum untuk memenuhi keperluan manusia setakat hujung Ogos tahun lalu.

“Pada satu metrik, ia berada pada tahap paling teruk sejak krisis kebuluran negara (Korea Utara) berlaku pada 1990-an,” kata laporan tersebut.

Krisis kebuluran yang berlaku pada 1994 hingga 1998 dirujuk sebagai ‘Perjalanan Menyukarkan’ oleh pemimpin-pemimpin Korea Utara di mana ia dianggarkan telah meragut nyawa satu juta orang atau lima peratus daripada populasi negara tersebut pada masa itu.

Selain itu, laporan sama turut menunjukkan bahawa harga jagung melonjak lebih tinggi daripada beras iaitu tanaman ruji utama negara itu selepas penutupan sempadan akibat Covid-19 pada 2020. Ia menandakan wujudnya kekurangan makanan isi rumah yang serius.

Sekatan ke atas pengangkutan bijirin domestik semasa Covid-19 juga telah memburukkan lagi keadaan dan pada awal 2021, harga makanan di Korea Utara mula melonjak melebihi harga global.

“Bukti yang dikemukakan setakat ini menunjukkan kemerosotan ketara dalam keadaan hidup dan krisis kemanusiaan kompleks yang berterusan dengan masalah kekurangan bekalan makanan menjadi terasnya,” kata laporan berkenaan.

Pada April 2021, pemimpin tertinggi Korea Utara,Kim Jong-un memberi amaran bahawa satu lagi tempoh ‘Perjalanan Menyukarkan’ akan berlaku di negara itu bagi mengatasi kegawatan ekonomi yang dialaminya. 

Bagaimanapun, rejim Jong-un dilihat mempercepatkan program nuklear dan peluru berpandunya dalam beberapa tahun kebelakangan ini, sekali gus mengalihkan sumber yang terhad untuk disalurkan kepada bajet pertahanan meskipun masalah bekalan makanan menjadi semakin teruk. 

Minggu ini, pihak berkuasa Korea Utara mengumumkan bahawa perbelanjaan sektor pertahanan akan kekal menjadi keutamaan negara itu yang merangkumi 15.9 peratus daripada keseluruhan bajet 2023. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI