SELEPAS sejam mengukus kepala biri-biri dengan air garam di dapur, hidangan tradisional itu terus dihidangkan untuk santapan tetamu.
Itu merupakan rutin yang dilakukan saban tahun oleh penduduk di Iceland ketika meraikan festival Thorrablot.
Acara tahunan itu merupakan festival musim sejuk Iceland yang berakar umbi dalam mitologi Norse dengan menampilkan hidangan tradisional unik.
Selain kepala biri-biri, antara menu lain adalah sosej darah, buah zakar biri-biri yang dihiris, sosej hati, kambing salai, ikan haring, ikan kering, lemak ikan paus masam dan ikan yu ditapai.
Makan malam Thorrablot meraikan Thorri, personifikasi musim sejuk atau frost dalam mitologi Norse. Ia mewakili bulan keempat musim sejuk dalam kalender Norse lama yang biasanya jatuh antara Januari dan Februari.
Difahamkan tahun ini, Thorri jatuh antara 25 Januari dan 23 Februari.
Seperti keraian lain didunia, penduduk Iceland juga meraikan festival tersebut bersama-sama keluarga dan rakan-rakan dengan berkongsi hidangan sebagai penghormatan kepada Thorri.
Kebanyakan hidangan ditapai, diasap atau dikeringkan sebagai cara mengawet makanan untuk tempoh lama sebelum dimakan bersama-sama minuman alkohol.
Bau ammonia daripada yu yang ditapai dan dipotong menjadi kiub kecil itu terus menusuk ke dalam hidung sebaik balang dibuka.
“Ini seperti keju Perancis, ia benar-benar berbau. Tetapi, apabila anda memakannya, ia benar-benar lazat,” ujar pemilik Cafe Loki iaitu sebuah restoran yang menyajikan masakan tradisional di Reykjavik, Perla Runarsdottir.
“Saya suka rasa itu, ia mengimbau kembali kenangan zaman kanak-kanak saya. Ia juga membolehkan kami berhubung semula dengan asal usul kami,” ujar seorang operator kecemasan, Sigurdur Ingi Hauksson, 47.
Satu kemestian bagi orang luar yang melawat Iceland. Hidangan yu ditapai merupakan sajian wajib yang perlu dijamu dengan segelas brennivin iaitu sejenis minuman alkohol diperbuat daripada kentang yang ditapai bersama jintan.
“Sebaik sahaja memakannya, bilas tekak anda bagi menghilangkan rasa pelik makanan itu,” saran Perla yang merupakan ibu kepada tiga cahaya mata.
Sayur campur yang dipotong dadu, kentang kukus lecek, dan roti melengkapkan hidangan semasa festival Thorrablot.
Di sekeliling meja, enam orang rakan Perla sedang menikmati makan malam mereka.
“Ini adalah makanan Thorri ketujuh saya pada tahun ini dan saya sentiasa menginginkannya lagi,” kata salah seorang rakan Perla, Thorsteinn Gunnlaugsson.
Perayaan Thorrablot yang pertama adalah pada abad ke-19, tetapi idea untuk meraikan festival itu dengan makanan tradisional bermula pada 1960-an.
Thorrablot adalah perayaan pertengahan musim sejuk yang mempersembahkan korban haiwan kepada tuhan-tuhan di Iceland pada masa lalu.
Ia telah dimansuhkan semasa pengkristianan Iceland, tetapi dibangkitkan semula pada abad ke-19 sebagai perayaan pertengahan musim sejuk yang terus disambut sehingga hari ini.
Asal-usul nama Thorri tidak jelas, tetapi kemungkinan besar berasal daripada Raja Norway, Thorri Snærsson atau Thor Dewa Petir dalam agama Nordic lama.
Pada masa ini, kebanyakan orang Iceland menikmati Thorrablot kira-kira sekali atau dua kali sebulan.
Pada musim sejuk, Reykjavik mendapat hanya empat jam cahaya matahari, tetapi menjelang Februari, ia meningkat kepada lebih sembilan jam.