fbpx

Jonker Walk tarik 1 juta pelancong, pamer Tanglung Peranakan terbesar dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Para pengunjung membanjiri Jonker Walk pada program sambutan perayaan Tahun Baharu Cina di Banda Hilir, Melaka malam tadi. - foto SYAFEEQ AHMAD

MELAKA – Lokasi tumpuan sambutan Tahun Baharu Cina di Jonker Walk, Banda Hilir di sini dijangka dikunjungi seramai 1 juta pelancong sepanjang tempoh 15 hari perayaan dengan tarikan baharu pameran Tanglung Peranakan terbesar di dunia.

Pengerusi Jawatankuasa Jonker Street, Datuk Gan Tian Loo berkata, tanglung bernilai RM100,000 sepasang itu mempunyai ketinggian hampir 5 meter dan 2.4 meter ukur lilit.

Katanya, selain bersaiz gergasi, tanglung itu turut menyelitkan peristiwa-peristiwa sejarah termasuk sejarah Kapal Laksamana Cheng Ho dan Upacara Wangkang yang dicoretkan pada tanglung.

“Tanglung Peranakan ini mempunyai nilai eksklusifnya sendiri kerana ia dihasilkan oleh artis dengan menerapkan nilai-nilai sejarah padanya termasuklah sejarah Kapal Laksamana Cheng Ho datang ke Melaka pada kurun ke-14 dan Upacara Wangkang.

“Ini adalah Tanglung Peranakan terbesar di dunia bernilai RM100,000 dan kita jangka dengan pameran tanglung ini kawasan Jonker Walk akan dibanjiri 1 juta pengunjung dalam tempoh 15 hari perayaan Tahun Baharu Cina,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, malam tadi.

Tambahnya, Upacara Wangkang telah diiktiraf sebagai kebudayaan tidak ketara negara dalam kategori Senarai Wakil Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan pada 2020.

Mengulas lanjut beliau berkata, selain tanglung gergasi berkenaan, Jonker Walk turut dihiasi dengan 800 tanglung tradisi merah di setiap lorong di kawasan itu.

“Pemasangan tanglung tradisi ini juga telah mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book Of Records yang dirasmikan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Tiong King Sing minggu lalu.

“Selain dekorasi, kita juga jangka kawasan ini akan dipenuhi pengunjung dengan kemeriahan pelbagai jualan melibatkan 300 peniaga dan penjaja di pasar malam Jonker Walk sepanjang musim perayaan,”katanya.

Tian Loo berkata, sepanjang tempoh 15 hari bermula hari ini sehingga perayaan Chap Goh Mei, pihaknya akan menganjurkan pelbagai aktiviti kebudayaan bagi mencapai sasaran 1 juta pengunjung. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI