BHUBANESWAR – Malaysia berpeluang mengesahkan tiket ke suku akhir sebagai lapan pasukan terbaik Piala Dunia Hoki 2023 jika menewaskan Sepanyol dalam aksi cross over di Stadium Kalinga petang ini.
Kapten Malaysia, Muhammad Marhan Mohd. Jalil bertekad untuk terus memberikan aksi terbaiknya sama seperti dilakukan ketika membantu skuad negara menang 3-2 ke atas New Zealand pada Khamis lalu.
Prestasi memukau ditunjukkan jeneral berusia 32 tahun dengan 281 penampilan antarabangsa itu membolehkannya diangkat sebagai pemain terbaik aksi itu.
“Saya sangat berbangga dengan persembahan daripada rakan sepasukan kerana kami berjaya mencapai objektif awal pasukan. Tanpa mereka, anugerah ini tidak akan menjadi milik saya.
“Saya berharap kami dapat kekalkan konsistensi untuk aksi seterusnya dan saya sendiri akan terus berikan persembahan terbaik demi kejayaan pasukan,” kata pemain berasal dari Negeri Sembilan itu.
Difahamkan, barisan kejurulatihan diketuai A. Arul Selvaraj sudah membuat kajian mendalam terhadap corak permainan Sepanyol yang lebih gemar memegang penguasaan bola dan melakukan serangan melalui bahagian tengah.
Walaupun rekod lebih memihak kepada Sepanyol tetapi Malaysia yang baru sahaja naik ke ranking kesembilan dunia, Malaysian Tigers pernah menewaskan Red Sticks 4-3 ketika kali terakhir bertemu pada Kejohanan Jemputan Empat Negara 2019.
Jika menang ke atas lawan ranking kelapan dunia itu, Malaysia akan mengulangi pencapaian 21 tahun lalu sewaktu Malaysian Tigers muncul lapan pasukan terbaik pada edisi 2002 di Kuala Lumpur.