JAKARTA – Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) menegaskan bahawa protokol kesihatan yang dilaksanakan di destinasi-destinasi pelancongan menjadi aspek terpenting dalam mengalu-alukan kedatangan pelancong asing termasuk dari China, lapor agensi berita ANTARA, semalam.
Menurutnya, Indonesia mengamalkan dasar terbuka kepada pelancong dari mana-mana negara.
“Kebanyakan mereka datang dari China namun, yang paling penting adalah pelaksanaan protokol kesihatan,” katanya ketika melawat kawasan pelancongan Bunaken di Manado, Sulawesi Utara, kelmarin.
Tambah Jokowi, semua pihak tidak perlu bimbang kerana pihak berkuasa China turut menyaring warganegaranya yang ingin melancong ke luar negara.
“Justeru, kita tidak perlu khuatir,” tegasnya.
Sementara itu, beliau menambah, pemulihan sektor pelancongan di Indonesia telah menunjukkan hasil memberangsangkan melihatkan kepada peningkatan jumlah pelancong asing yang melawat Pulau Bali.
“Kita berharap agar semua negara di dunia akan kembali kepada keadaan normal secepat mungkin bagi membantu semua destinasi pelancongan kembali pulih daripada pandemik,” ujarnya.
Beliau turut percaya bahawa tahap imunisasi penduduk Indonesia, yang kini berada pada 98.5 peratus adalah lebih daripada mencukupi untuk menerima pelancong asing.
“Disebabkan itu, pemerintah tidak mengenakan sebarang sekatan seperti kuarantin untuk pelancong China yang datang ke negara ini,” jelas Jokowi.
Bermula 8 Januari lalu, pihak berkuasa China telah membenarkan rakyatnya pergi ke luar negara untuk pelbagai tujuan selepas hampir tiga tahun Beijing melaksanakan polisi sifar Covid secara ketat yang menghalang penduduk tempatan daripada bebas melancong. – AGENSI