SEBERANG PERAI – Penggunaan telefon bimbit ketika memandu antara kesalahan utama yang dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang sepanjang Ops Tahun Baharu Cina (TBC) 2023 yang bermula Rabu lalu.
Menurut JPJ negeri dalam satu kenyataan, sehingga semalam, sebanyak 18 notis saman dikeluarkan atas kesalahan tersebut yang juga tertinggi setakat ini.
“Kesalahan lain adalah gagal mematuhi lampu isyarat merah iaitu sebanyak 15 notis saman, potong barisan dan potong Q dengan 13 notis saman yang dikeluarkan.
“Turut dikesan adalah kesalahan tidak memakai topi keledar dan memandu di lorong kecemasan iaitu masing-masing dengan tiga notis saman selain memotong di garisan berkembar dengan satu notis saman,” kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, JPJ negeri turut menasihatkan para pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan dan undang-undang semasa pemanduan.
Ini bertujuan mengelakkan daripada berlakunya sebarang kejadian yang tidak diingini serta kemalangan disebabkan kecuaian dan ketidakpatuhan undang-undang jalan raya. – KOSMO! ONLINE