LONDON – Mentaliti, motivasi, tempoh rehat mencukupi dan kualiti yang dimiliki ketika ini menjadi tunjang kepada misi Arsenal untuk mengekalkan rentak kemenangan ketika melayan kunjungan Manchester United di Emirates awal pagi esok.
Berdasarkan penjadualan Liga Perdana Inggeris, The Gunners pastinya berada dalam situasi lebih bersedia berbanding United yang masih berdepan isu kepenatan selepas berdepan Crystal Palace Khamis lalu berbanding Arsenal kali terakhir bermain pada awal pagi Isnin.
Keadaan ini memberikan kelebihan kepada Pengurus Arsenal, Mikel Arteta yang boleh memastikan pemainnya lebih cergas, malah peluang mereka untuk menang lebih tinggi memandangkan bakal bermain di depan penyokong sendiri.
Mengulas tentang perlawanan yang dianggap sebagai detik balas dendam ini, Arteta tetap waspada dengan ancaman United kerana sedar rakan sejawatnya, Erik Ten Hag memiliki kualiti tersendiri ketika melakukan transformasi terhadap The Red Devils musim ini.
“Beliau (Ten Hag) mengubah keadaan dengan cepat dan berjaya menerapkan falsafah permainan dengan cukup jelas. Mereka memiliki kemampuan dan sudah banyak perubahan berjaya mereka pamerkan.
“Tentang ketiadaan Casemiro, ia adalah di luar kawalan kami. Dia tidak bermain pada perlawanan pertama, namun kami masih lagi gagal melakukan tugas dengan baik untuk memenangi perlawanan.
“Kamu lihat United, mereka memiliki pemain hebat yang mampu menewaskan mana-mana pasukan dalam liga ini. Namun, kami sudah pasti akan merangka strategi untuk ambil peluang dengan ketiadaan Casemiro,” katanya.
Situasi ini mungkin memaksa pengendali Ten Hag mempertaruhkan gandingan Fred dan Scott McTominay, biarpun hakikatnya kedua-dua pemain itu mungkin tidak mampu menyaingi kualiti Casemiro.
Mengulas mengenai kehadiran pemain baharunya, Leandro Trossard, Arteta percaya bahawa pemain itu mampu segera menyesuaikan diri dengan pasukan itu.
“Saya fikir dia akan segera memberikan impak kepada pasukan. Dia adalah pemain yang bijak dan sesuai dengan cara kami bermain,” jelasnya. – AGENSI