fbpx

Capaian sistem e-Pharmacist bermasalah ditutup sementara – KKM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) akan menutup sementara capaian kepada sistem e-Pharmacist bagi memberi ruang kepada pasukan teknikal teknologi komunikasi maklumat (ICT) KKM menilai dan menangani masalah teknikal yang berlaku.

KKM menerusi satu kenyataan berkata, insiden gangguan pada capaian sistem tersebut telah dikesan setelah menerima aduan daripada calon yang memohon.

“Sistem e-Pharmacist digunakan untuk membuat pemilihan penempatan latihan siswazah bagi Pegawai Farmasi Gred UF41 yang mula dibuka pada 19 Januari lalu.

“Sehubungan masalah pada capaian tersebut, KKM telah mengarahkan tindakan segera diambil bagi mengenal pasti isu gangguan teknikal ini,” kata kenyataan itu hari ini.

Tambah kenyataan tersebut, antara isu yang dikenal pasti adalah calon tidak dapat mengakses ke sistem pada waktu yang ditetapkan mengakibatkan individu tersebut lewat serta tidak dapat memilih penempatan latihan siswazah lebih awal.

“Capaian ke sistem juga perlahan (lagging) mengakibatkan calon terpaksa menunggu lama untuk melengkapkan proses penempatan selain terdapat isu calon yang berjaya memilih penempatan di suatu fasiliti melebihi had slot latihan siswazah yang ditetapkan.

“KKM difahamkan, ketika ini terdapat seramai 627 calon yang telah ditawarkan pelantikan dan perlu memilih penempatan latihan siswazah pada sesi kali ini,” katanya.

Sehubungan itu, KKM membuat keputusan untuk menutup sementara capaian ke sistem berkenaan bagi menangani situasi itu secara berhemah dan berlaku adil kepada semua calon yang memohon.

“KKM akan membuka semula sistem e-Pharmacist pada tarikh baharu iaitu 30 Januari 2023 (Isnin) pukul 12 tengah hari sehingga 1 Februari 2023 (Rabu), manakala tarikh melapor diri bagi mengikuti Program Transformasi Minda (PTM) masih dikekalkan pada 13 Februari depan.

“KKM menyeru agar semua calon yang terlibat dapat bersabar dan mengakses semula sistem ini pada tarikh yang ditetapkan,” ujarnya.

Sementara itu, tinjauan yang dilakukan ke atas capaian tersebut mendapati terdapat memo yang dipaparkan memaklumkan bahawa semua calon yang telah memilih penempatan dan berjaya menjana surat tawaran dan perjanjian kontrak sebelum ini adalah terbatal dan perlu membuat permohonan semula pada tarikh baharu yang telah ditetapkan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI