fbpx

Berjalan di tengah laut terus jadi tarikan di Pulau Pangkor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengunjung mengambil kesempatan berjalan menuju ke Pulau Giam, Pulau Pangkor hari ini. - Foto MEDIA SOSIAL

LUMUT – Fenomena air surut yang membolehkan orang ramai berjalan dari Pantai Teluk Nipah ke Pulau Giam terus menjadi tarikan pengunjung ke Pulau Pangkor.

Kejadian air surut yang terjadi beberapa hari dalam setahun itu berlaku hari ini menyebabkan pengunjung berpusu-pusu mengambil kesempatan merasai suasana berjalan di tengah laut ke Pulau Giam pada jarak kira-kira 400 meter.

Orang ramai mulai menyeberangi lautan kira-kira pukul 10 pagi iaitu ketika air laut berada pada paras 0.01 meter dan memperlihatkan beting pasir selebar kira-kira satu meter, seolah-olah seperti jambatan yang menghubungkan kawasan pantai menuju ke pulau tersebut.

Difahamkan, paras air surut paling rendah tahun ini berlaku selama dua hari iaitu hari ini dan esok iaitu pada paras buku lali orang dewasa untuk tempoh masa kurang dua jam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pulau Pangkor, Muhammad Shukur Jamaludin berkata, beliau bersama 11 anggota bomba bertugas mengawasi keadaan itu di laut dan di darat dibantu beberapa agensi lain termasuk Persatuan Rekreasi Pangkor atau lebih dikenali sebagai ‘beach boy’.

Fenomena air surut menjadi tarikan pengunjung ke Pulau Pangkor. – Foto MEDIA SOSIAL

Jelasnya, pasukan itu melakukan pengawasan di lokasi tersebut sejak semalam sehingga Rabu ini iaitu tempoh air laut surut dalam beberapa masa tertentu, bagi mengelak kejadian tidak diingini.

“Bilangan pengunjung yang menyeberangi ke Pulau Giam hari ini didapati lebih ramai berbanding tahun lalu, justeru pihak kami mengambil langkah lebih berwaspada dalam aspek keselamatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, dengan keadaan cuaca mendung dan hujan mulai turun, pihaknya telah mengarahkan pengunjung untuk segera kembali ke pantai lebih awal dari tempoh ditetapkan sebelum ini sebagai langkah berjaga-jaga.

Jelasnya, tiada sebarang kejadian tidak diingini sepanjang fenomena tersebut dengan orang ramai mematuhi setiap arahan ditetapkan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI