PETALING JAYA – Tanpa banyak sensasi, penyanyi Aiman Tino kini sudah bertemu wanita tepat, Syarah Haifa untuk dijadikan calon isteri.
Perkara tersebut dikongsi sendiri Aiman menerusi satu hantaran yang dimuat naik dalam Instagram miliknya.
Dalam perkongsian tersebut, kelihatan ibu kepada penyanyi itu, Hazelina Mat Jalil dilihat menyarung cincin di jari manis Syarah sebagai tanda menyunting bakal menantunya itu.
“Bismillah. Semoga kisah perkenalan ini menjadi asbab kebahagiaan dan permulaan baharu untuk diri ini.
“Terima kasih atas segala doa. Terima kasih,” tulis Aiman berhubung fasa serius hubungannya kini.
Sementara itu, abang kepada Syarah dikenali sebagai Farish Isa turut berkongsi berita gembira itu menerusi beberapa hantaran yang dimuat naik dalam InstaStory miliknya.
“Eh! Ada tetamu datang rumah kita la. Rupanya nak merisik bunga di taman,” ujarnya.
Dalam acara serba ringkas di kediaman kekasih Aiman itu, penyanyi yang popular menerusi lagu Ku Rela Dibenci itu dilihat turut hadir bersama ahli keluarga lain.
Tiada pengumuman rasmi tentang pertunangan, namun majlis merisik berkenaan berlangsung di Cheras petang semalam. – KOSMO! ONLINE