PETALING JAYA – Aliran trafik di Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak (KLK) dilaporkan sesak kira-kira hampir 20 kilometer (km) bermula pukul 12 tengah hari tadi susulan banyak kenderaan menuju ke arah Pantai Timur hari ini.
Lebuhraya Pantai Timur dalam kenyataan di Facebook memaklumkan aliran trafik sesak menghala ke Kuantan sebelum Plaza Tol Gombak.
Keadaan sama turut berlaku 4.8 kilometer (KM) dari Plaza Tol Gombak hingga 24.6km (Gombak), di Bukit Tinggi, Lentang dan juga dari Km 56.7 – Km 60.5 (Lentang-Bentong).
Sementara itu katanya, trafik di kedua-dua hala bagi Lebuhraya Pantai Timur (LPT 1@E8) masih lancar.
Dalam pada itu, di Lebuh Raya Persekutuan pula, trafik dilaporkan perlahan sekitar pukul 12.48 tengah hari tadi dari arah selatan iaitu dari Putra Mahkota ke Nilai dan Bandar Ainsdale ke Pedas Linggi.
Keadaan sama turut dilaporkan berlaku di Pedas Linggi ke Hentian Sebelah Pedas Linggi serta di Ayer Keroh menghala ke Jasin. – KOSMO! ONLINE