fbpx

Polis tahan tukang cat bantu siasatan ceroboh rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TANGKAP layar rakaman CCTV seorang lelaki masuk ke pekarangan sebuah rumah dan menyelongkar kereta di Taman Seri Idaman di Teluk Intan, Isnin lalu.

TELUK INTAN – Polis menahan seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai terlibat dalam kejadian pencerobohan di sebuah rumah di Taman Seri Idaman di sini, Isnin lalu.

Tangkapan ke atas suspek berusia 23 tahun itu dibuat bagi membantu siasatan susulan video rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) berkaitan kejadian itu tular di laman sosial Facebook pada Rabu.

Rakaman berkenaan memaparkan seorang lelaki masuk ke pekarangan sebuah rumah dan menyelongkar ke dalam sebuah kereta yang tidak berkunci.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, suspek ditahan pada pukul 12.15 tengah malam tadi, di kawasan perumahan di Jalan Padang Tembak.

Katanya, soal siasat ke atas lelaki yang bekerja sebagai tukang cat itu mengakui yang dia terlibat dalam kejadian tersebut selain menemukan barang kes yang dicuri dari kereta mangsa.

“Ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif mengambil dadah namun mempunyai rekod lampau bersabit kes khianat.

“Permohonan reman telah dibuat ke atas suspek di Mahkamah Majistret Teluk Intan dan suspek direman selama tiga hari sehingga Isnin ini,” katanya dalam kenyataannya di sini, hari ini.

Menurut beliau, dengan tertangkapnya suspek, pihaknya percaya berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya dua kes pencerobohan jenayah membabitkan modus operandi sama di kawasan perumahan berkenaan.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 447 kanun sama kerana menceroboh.

“Pihak polis akan terus komited dalam menjaga keselamatan dan kesejahteraan orang awam dengan meningkatkan rondaan pencegahan jenayah di sekitar kawasan perumahan sewaktu musim perayaan Tahun Baharu Cina ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI