BHUBANESWAR – Malaysia sudah mempunyai taktikal permainan tersendiri untuk digunakan menentang Sepanyol pada aksi cross over Piala Dunia Hoki 2023 di Stadium Kalinga petang esok.
Tonggak pertahanan skuad hoki negara, Muhammad Najmi Farizal Jazlan menegaskan, dia dan rakan sepasukannya perlu bijak mencari jalan untuk menumbangkan lawan di ranking kelapan dunia itu.
Kemenangan ke atas Red Sticks akan membolehkan Speedy Tigers menyambar tiket ke peringkat suku akhir sekali gus mengukir nama sebagai lapan pasukan terbaik pada edisi kali ini.
“Kami ada taktikal sendiri tetapi saya tak boleh kongsikannya sekarang. Bukan nak kata terlalu yakin tetapi kami percaya dengan kemampuan kami dan juga perancangan jurulatih.
“Pemain dah tanam dalam diri mahu kalahkan Sepanyol. Kami perlu bermain bijak dan beri usaha lebih dalam perlawanan nanti, kalau ada rezeki kejayaan akan menjadi milik negara,” katanya.
Motivasi para pemain dilihat berada pada tahap terbaik susulan kejayaan muncul naib juara Kumpulan C selain kenaikan ranking ke No.9 dunia, berdasarkan sesi latihan di Stadium Kalinga petang tadi.
“Kami ada tanggungjawab dekat sini dan kami perlu laksanakan baki tugas untuk mencapai sasaran. Saya harap dapat membanggakan anak-anak dan isteri serta mengharumkan nama Speedy Tigers,” jelas Najmi.
Skuad bimbingan A. Arul Selvaraj itu tewas 2-3 kepada Sepanyol dalam aksi yang berlangsung selama 45 minit sebagai pemanas badan sebelum kejohanan bermula di Stadium Hoki Birsa Munda, Rourkela sebelum ini.
Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu dalam pertandingan rasmi menyaksikan Speedy Tigers menang 4-3 sewaktu Kejohanan Jemputan Empat Negara 2019 di Terrassa, Sepanyol. – KOSMO! ONLINE