fbpx

Op Limau: 120 diberkas, wang pertaruhan judi lebih RM90,000 dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Seramai 120 orang telah ditangkap setelah terbabit dalam aktiviti perjudian menerusi Op Limau yang dijalankan di seluruh negara bermula 15 Januari lalu.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, operasi diadakan selama 15 hari dan akan berakhir pada 29 Januari ini sempena Tahun Baharu Cina.

“Fokus utama operasi ini adalah untuk membanteras aktiviti perjudian yang ditumpukan kepada judi dalam bangunan serta judi tempat terbuka yang tertakluk di dalam jadual pertama dan kedua di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Sehubungan itu, bagi tempoh 15 Januari hingga 19 Januari lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Peringkat Bukit Aman telah memberkas seramai 120 orang terdiri daripada 115 lelaki dan lima perempuan

“PDRM juga telah merampas wang tunai berjumlah RM92,481 dipercayai merupakan wang pertaruhan perjudian dalam 20 serbuan sepanjang tempoh tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Noorsiah, kes disiasat di bawah Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Judi Dalam Bangunan) dan Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Judi Luar Bangunan).

Dalam pada itu, Noorsiah turut berkata pihak PDRM akan mengambil tindakan tegas kepada individu yang menganjur dan menjalankan pertaruhan, berlandaskan undang-undang sedia ada dalam usaha menangani aktiviti perjudian.

“PDRM menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan perjudian, boleh salurkan maklumat tersebut melalui hotline WhatsApp Op Limau di talian 016-5773477,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI