LIVERPOOL – Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp mencabar anak-anak buahnya untuk kekal konsisten dalam usaha mendaki carta Liga Perdana Inggeris (EPL) menjelang aksi penting menentang seteru tradisi, Chelsea di Anfield pada malam ini.
Sebagai rekod, skuad The Reds gagal mempamerkan prestasi terbaik selepas tewas kelab kurang ternama, Brentford dan Brighton untuk dua perlawanan berturut-turut dalam kempen EPL baru-baru ini.
Namun, Liverpool kembali mengecapi nikmat kemenangan selepas menewaskan Wolverhampton 1-0 pada aksi ulangan Piala FA awal minggu ini, sekali gus meraih momentum positif sebelum melayan kunjungan The Blues nanti.
Kata Klopp, semua pemain mempunyai tanggungjawab besar dalam memastikan kemelut prestasi pasukan dapat dipulihkan dengan menjadikan skuad kendalian Graham Potter itu sebagai sasaran seterusnya.
“Saya gembira kita dapat meraih kemenangan moral ke atas Wolves sebelum ini, tetapi keputusan tersebut tidak bermakna kita sudah menemui kembali prestasi asal.
“Kita tahu kualiti yang ada pada Chelsea dan sudah tentu saya akan membuat percaturan terbaik dalam usaha meraih keputusan positif,” katanya.
Sementara itu, Klopp masih enggan mendedahkan kesebelasan terbaik selepas pemain muda, Harvey Elliott tampil cemerlang ketika diberikan tugas selaku penyerang utama sebelum ini.
“Elliott boleh bermain di pelbagai posisi dan itulah kelebihan dia. Namun, Darwin (Nunez) juga sudah cergas sepenuhnya dan saya akan lihat dahulu dari aspek taktikal sebelum membuat percaturan nanti dan memilih barisan pemain terbaik,” katanya. – AGENSI