fbpx

Dengar pokok tumbang, rupanya anak sendiri kena hempap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kejadian pokok tumbang yang mengorbankan seorang remaja perempuan di Kuantan petang kelmarin. (Gambar kecil) bapa mangsa, Mohamad Hasnizam Manan.

KUANTAN – Seorang bapa tidak menyangka permintaan anaknya untuk membeli barangan keperluan dan memakan piza adalah yang terakhir sebelum mangsa maut akibat dihempap pokok tumbang di Taman Permainan Balok Baru di sini kelmarin.

Dalam kejadian pukul 6 petang itu, mangsa, Aliya Zahra Mohamad Hasnizam, 14, sempat menyelamatkan adiknya sebelum dihempap pokok sebesar tiga pemeluk orang dewasa yang tumbang akibat dipukul ribut.

Ketika kejadian, Aliya Zahra menarik tangan adiknya berusia sembilan tahun.

Mohamad Hasnizam Manan, 45, berkata, dia lega kerana dapat menunaikan permintaan anak ketiga daripada tujuh beradik itu yang mahu membeli barangan keperluan dan memakan pizza.

Anggota bomba melakukan operasi di lokasi pokok tumbang yang menghempap seorang remaja perempuan
di Kuantan kelmarin.

“Arwah ada minta saya membawanya ke kedai kerana mahu membeli barang keperluan diri sebelum makan piza. Saya sempat menunaikan permintaan tersebut,” katanya ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini semalam.

Menurut Mohamad Hasnizam, dia sekeluarga berasa sedih, namun reda dengan kehilangan anaknya dalam kejadian itu.

“Dia seorang anak yang baik kerana merupakan anak perempuan sulung walaupun anak ketiga (daripada tujuh beradik),” katanya.

Menceritakan kejadian itu, Mohamad Hasnizam berkata, semasa kejadian, dia bersama iste­ri, Maznah Abdul Ghani, 36, sedang melayan pelanggan di gerai burger miliknya yang terletak 20 meter dari pokok tersebut.

Ahli keluarga mangsa menunggu untuk menuntut mayat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan semalam.

Katanya, dia mendengar bunyi pokok tumbang, tetapi tidak menyangka kejadian itu melibatkan anaknya.

“Ada penduduk panggil kami dan beritahu anak saya terlibat (kejadian pokok tumbang). Pokok itu saiznya terlalu besar dan tinggi.

“Jadi apabila ia tumbang, sudah pasni anak saya turut dihempap. Dia dikeluarkan oleh penduduk,” katanya.

Jenazah Aliya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Cerul Satu, Kemaman, Terengganu semalam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI