MELBOURNE – Bekas pemain ranking No.1 dunia, Andy Murray mengkritik pengadil perlawanan selepas terpaksa bersaing sehingga pukul 4 pagi (waktu tempatan) pada Grand Slam Terbuka Australia semalam.
Pada saingan tersebut, Murray terpaksa bekerja keras untuk melangkah ke pusingan ketiga apabila perlu bergelut dalam lima set pertarungan
Bagaimanapun, Murray berjaya bangkit mencari kemenangan selepas memerlukan tempoh 5 jam 45 minit untuk mengatasi pemain tuan rumah, Thanasi Kokkinakis sebelum menang dengan keputusan 4-6, 6-7 (4/7), 7-6 (7/5), 6-3, 7-5.
Murray yang dalam keletihan mengkritik pegawai kejohanan selepas perlawanan tersebut berakhir pada 4 pagi.
Pemain tersebut berkata, dia menghormati peraturan, tetapi ia menganggap meneruskan perlawanan sehingga pukul 3 atau 4 pagi dan tidak dibenarkan pergi membuang air kecil adalah satu perkara tidak masuk akal.
“Ia sangat kelakar dan anda semua mengetahuinya. Malah, pengadil tidak menghormati anda, budak pengutip bola, pemain dan kami tidak dibenarkan ke tandas.
“Bagi saya meneruskan perlawanan sehingga pagi. Ia tidak masuk akal,” tegas Murray.
Sudah menjadi kebiasaan bagi aksi Terbuka Australia yang berlanjutan sehingga awal pagi, tetapi bekas juara Grand Slam, John McEnroe menggesa pegawai supaya melaksanakan peraturan bagi mengelak perkara tersebut berulang.
“Saya terkejut dan tidak percaya apabila mereka masih bermain pada waktu ini.
“Ia adalah sesuatu yang ‘gila’ apabila permainan pada tahap ini berlangsung pada pukul 4 hingga 4.30 pagi,” ujar McEnroe.
Selepas ini, Murray, 35, akan menentang pilihan ke-24, Roberto Bautista Agut dari Sepanyol di pusingan ketiga. – AGENSI