BALING – Kebimbangan seorang isteri apabila suaminya tidak pulang ke rumah selepas keluar menoreh terjawab apabila lelaki itu ditemui tidak sedarkan diri di kebun getah Kampung Charuk Kapas, Kupang dekat sini hari ini.
Mangsa, Abdul Hamid Hussain, 71, dari Kampung Keda Sadek, Kupang ditemui anaknya kira-kira pukul 12 tengah hari dan kematiannya disahkan oleh Pegawai perubatan Hospital Daerah Baling.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, mangsa pergi ke kebun getah pada pukul 8.30 pagi tadi.
Hasil maklumat isteri mangsa, Siti Ashah Md. Noh, 70, suaminya akan pulang ke rumah pada pukul 9.30 pagi.
“Namun, sehingga pukul 12 tengah hari tadi, lelaki itu belum pulang dan dia meminta anaknya pergi mencari di kebun sebelum menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Daerah Kulim untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – KOSMO! ONLINE