KOTA BHARU – Sekumpulan sindiket pengedar dadah tidak sempat mengedar sebanyak 5,200 biji pil kuda bernilai lebih RM50,000 selepas tiga lelaki dicekup dalam serbuan berasingan di daerah ini dan Pasir Mas.
Ketiga-tiga suspek berusia 27, 29 dan 36 tahun itu ditahan dalam tiga serbuan yang dijalankan bermula kelmarin sehingga semalam.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, polis turut merampas sepucuk pistol jenis Retay 84 FS dan 34 butir peluru semasa memeriksa sebuah kereta jenis Perodua Viva milik suspek berusia 27 tahun.
Menurutnya, serbuan pertama dijalankan kira-kira pukul 5.30 petang di tepi jalan Kampung Bayu Lalang, Pasir Mas sebelum seorang penganggur berusia 36 tahun diberkas.
“Pemeriksaan pada belakang pinggang lelaki itu telah menjumpai satu bungkusan plastik berwarna biru yang mengandungi 2,000 biji pil kuda yang dianggarkan bernilai RM20,000.
“Hasil soal siasat terhadap suspek, polis menjalankan serbuan di sebuah rumah di Kampung Lubok Jambu kira-kira pukul 10.30 malam pada hari yang sama dan menahan seorang lelaki berusia 29 tahun,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Menurut Muhamad Zaki, pemeriksaan di dalam plastik hitam yang dipegang suspek turut menemui sebanyak 2,000 biji pil kuda.
Katanya, selepas itu, polis telah menyerbu sebuah rumah di Kampung Lubok Jambu di sini pada pukul 12.40 tengah malam semalam dan menahan seorang lagi suspek berusia 27 tahun.
“Hasil pemeriksaan ke atas sebuah kereta jenis Perodua Viva telah membawa kepada penemuan sebanyak 1,200 biji pil kuda, sepucuk pistol Retay 84 FS dan 34 butir peluru.
“Siasatan lanjut mendapati, kumpulan itu mempunyai perancangan rapi berdasarkan ketelitian mereka dalam mengendalikan senjata api. Oleh itu, ketiga-tiga suspek akan disiasat secara teliti untuk melihat rangkaian-rangkaian lain yang terlibat dengan mereka,” katanya.
Menurut Muhamad Zaki, ketiga-tiga suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula kelmarin dan semalam.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971. – KOSMO! ONLINE