JOHOR BAHRU – Insiden seorang kanak-kanak lelaki warga asing yang ditemukan selepas enam hari dalam terperangkap dalam kontena sebelum ditemui Pelabuhan Klang, semalam tidak mengandungi sebarang unsur jenayah pemerdagangan manusia.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kanak-kanak lelaki yang dikenali sebagai Fahim itu ditemui dalam sebuah kontena yang dibawa kapal dari Bangladesh.
Menurut beliau, laporan polis telah dibuat dan siasatan berhubung kejadian berkenaan telah dijalankan.
“Bila kapal itu tiba di pelabuhan Klang, kontena diturunkan dan didapati ada seorang budak di dalam salah sebuah kontena berkenaan, namanya Fahim.
“Dia satu-satunya yang ditemui jadi laporan polis dibuat, disiasat dan dia dibawa ke pemeriksaan kesihatan. Kebetulan kanak-kanak ini demam, dan kemudiannya proses dilakukan untuk dia dihantar pulang mengikut saluran undang-undang.
“Kita dapati tiada aspek menjurus kepada unsur permerdagangan manusia, ini kerana siasatan awal dia masuk (kontena) kemudian tertidur dan tiba sampai sini. Pihak berkuasa telah buat siasatan, pastikan dia sihat dan kemudian proses penghantaran pulang. Itu sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar mempengerusikan Mesyuarat Jawatankausa Penyelarasan Menangani Kesesakan di Tambak Johor di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani serta Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud.
Malam semalam, seorang kanak-kanak lelaki warga Bangladesh ditemui dalam kontena yang baru tiba di Westport, Pelabuhan Klang. Kapal berkenaan dilaporkan berlepas dari sebuah pelabuhan di Bangladesh pada 13 Januari lalu.
Video berdurasi 56 saat yang menunjukkan penemuan kanak-kanak itu selepas dia terkunci dalam kontena berkenaan selama lebih kurang enam hari tular di media sosial.
Dalam video tersebut, kanak-kanak itu dilihat berada dalam keadaan lemah dan tidak bermaya serta berjalan terhuyung-hayang ketika pintu kontena dibuka anggota Polis Bantuan Pelabuhan.
Berdasarkan maklumat sumber, salah seorang kakitangan pelabuhan dikatakan terdengar bunyi ketukan dari dalam kontena itu. Siasatan awal mendapati kanak-kanak itu dipercayai tertidur di dalam kontena dan tidak menyedari ia diangkut ke dalam kapal dan berlepas dari pelabuhan di Bangladesh menuju ke negara ini.-KOSMO! ONLINE