KEJAYAAN konsert Aku Cinta yang diadakan pada Oktober tahun lalu merupakan satu tanda aras buat pasangan selebriti terkenal Ernie Zakri dan Syamel untuk meneruskan episod perjalanan ‘pentas’ mereka.
Bersandarkan pencapaian konsert tersebut, Ernie tampil dengan persembahan istimewa, khas buat peminat yang banyak menyokong kariernya sepanjang berada dalam dunia seni sejak 2009.
Berbanding konsert Aku Cinta, This Is Ernie Zakri lebih intim dan menjurus ke arah perjalanan seni Ernie secara solo.
Meskipun tempoh persembahan yang singkat selama satu jam sahaja, penyanyi asal Kuala Lumpur itu berjaya menambat hati 200 penonton yang hadir memenuhi ruang Nero Event Space, PJPAC, One Utama baru-baru ini.
Kemunculan Ernie berhias busana serba putih bagaikan bidadari yang muncul menyerikan suasana dengan 10 buah lagu hit popularnya, seperti Boneka, Ku Bersuara, Hal
Hebat, Rindu Bukan Teman, Ini Yang Ku Mahu, Misteri dan Jangan Marah.
Lebih manis, Ernie membawakan lagu terbaharunya Astana buat pertama kali secara langsung sebagai tanda terima kasih buat peminat yang sentiasa menjadi tulang belakangnya.
“Lagu Astana ini mengenai pemerkasaan wanita dan ala-ala karya Ku Bersuara.
“Sebenarnya saya gembira kerana lagu ini mendapat sambutan baik daripada pendengar.
“Saya doakan lagu ini dapat tempat selayaknya dan kalau ada rezeki harap boleh memasuki Anugerah Juara Lagu (AJL) atau Anugerah Industri Muzik (AIM),” katanya ketika ditemui usai persembahan tempoh hati.
Selain peminat, rakan artis seperti Wany Hasrita, Amirah Othman, Sissy Iman, Sarah Suhairi, Ben Amir, Amelia Henderson, Nabila Razali dan Ara Johari turut hadir menyaksikan persembahan menakjubkan daripada pemilik nama sebenar Nur Ernie Shahirah Zakri itu.
Sokongan
Turut hadir, suami tercinta iaitu Syamel walaupun dalam keadaan risau memikirkan kondisi ayahnya yang berada dalam wad ICU akibat jangkitan kuman pada paru-paru.
“Saya tidak sangka suami dapat menghadirkan diri pada persembahan malam ini kerana dia sedang menjaga ayahnya di hospital.
“Apabila saya nampak dia (Syamel), saya rasa gembira dan bersyukur adanya di sisi,” ujar penyanyi dan juga guru vokal itu.
Tambah Ernie lagi, dia tidak sampai hati mengecewakan peminat untuk menunda ke tarikh lain walaupun perasaan bercampur baur memikirkan keadaan bapa mentua yang tidak sihat.
“Tidak adil untuk tunda bagi sesiapa yang sudah membeli tiket.
“Saya juga mendapat tahu ada yang sudah sampai ke Kuala Lumpur kerana perlu bergerak lebih awal.
“Saya hanya mendapatkan maklumat terkini mengenai ayah mertua menerusi suami dan apabila sudah selesai, saya perlu fokus ke arah lain,” tutupnya.
Melihat sambutan peminat, pelantun Korban itu merancang untuk mengadakan persembahan khas dengan skala pada masa depan.