SEREMBAN – Pemandu lori kontena yang rentung dalam kebakaran di Rasah, di sini pagi tadi, Mazlan Molot, 48, sering membawa isterinya, Fauziah Uyop, 40-an bersama untuk menghantar barangan.
Kedua-duanya meninggal dunia dalam kejadian kemalangan kira-kira pukul 8.40 pagi di Kilometer 259.6 Lebuh Raya Utara Selatan (Arah Selatan) berhampiran susur masuk ke Plaza Tol Port Dickson dekat Rasah di sini.
Ibu Mazlan, Mariam Kassim, 69 berkata, kali terakhir dia berjumpa dengan anaknya itu adalah pada Hari Raya Aidilfitri tahun lalu.
“Ketika itu dia pulang ke rumah di Felda Palong 2, Jempol. Dia ada berikan duit kepada saya dan anak-anak saudaranya. Dia seorang yang pendiam dan tidak banyak bercakap.
“Saya tahu dia sering bawa isterinya ke mana-mana kerana isterinya tidak bekerja dan dapat menemani dia menghantar barangan,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban di sini hari ini.
Mariam menjelaskan lagi, anak keduanya itu sudah berkahwin selama 12 tahun, namun pasangan suami isteri itu tidak dikurniakan zuriat.
“Isterinya sebelum ini menjadi pengasuh kanak-kanak, namun berhenti kerja dan sering mengikuti Mazlan menaiki treler untuk menghantar barangan,” katanya lagi.
Sementara itu, abang mangsa, Yaakob Molot, 51, yang juga seorang pemandu lori memaklumkan pihak syarikat tempat adiknya bekerja ada menghubungi bagi memaklumkan tentang kejadian tersebut.
“Saya dimaklumkan dia baharu bekerja di syarikat treler tersebut yang menghantar barangan kitar semula. Kami sekeluarga reda dengan apa yang terjadi,” katanya lagi.
Yaakob memaklumkan, pihak hospital akan mengambil sampel DNA ahli keluarga bagi mengesahkan identiti kedua-dua mangsa.
“Tidak tahu sama ada hari ini atau esok baharu boleh membawa pulang jenazah Jenazah dijangka dikebumikan selepas keputusan di Kampung Sungai Siput, Lubuk China, Melaka,” katanya. – KOSMO! ONLINE