fbpx

Sistem e-gate di BSI, KSAB dibuka kepada warganegara Singapura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SAIFUDDIN NASUTION melihat proses pemeriksaan mesin pengimbas dari seorang warga Singapura dengan menggunakan Malaysia Clearance Automated System (MACS 2.0). -Foto RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – Kerajaan akan membenarkan sistem e-gate di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Johor dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) digunakan warganegara asing, khususnya Singapura bermula hari ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kebenaran penggunaan sistem e-gate itu akan memberi manfaat kepada 30,000 hingga 50,000 warga republik itu yang berulang alik ke Johor untuk tujuan sosial.

Menurut beliau, langkah itu merupakan antara langkah penyelesaian jangka pendek yang telah diambil untuk mempercepat aliran keluar masuk pengembara di BSI dan KSAB.

“Sebelum ini, e-gate hanya terhad kepada kegunaan pemegang pasport Malaysia iaitu rakyat tempatan sahaja. Tetapi mulai hari ini kita membuat keputusan untuk membuka akses laluan masuk ini kepada warga Singapura yang menggunakan e-passport.

“Saya telah melihat sendiri kelancaran sistem ini yang mengambil masa jauh lebih singkat berbanding dengan kaedah biasa.

“Namun kemudahan pergerakan keluar masuk e-gate kepada warga Singapura, dikenakan syarat-syarat minimum iaitu warganegara Singapura yang memegang e-Pasport dan tempoh sah laku pasport sekurang-kurangnya tiga bulan.

“Mereka hanya perlu menghantar Malaysia Digital Arrival Card (MDAC) secara dalam talian tiga hari sebelum perjalanan dan mengesahkan biometrik di kaunter-kaunter Imigresen untuk kali pertama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar mempengerusikan Mesyuarat Jawatankausa Penyelarasan Menangani Kesesakan di Tambak Johor di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani serta Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud.

Tambah Saifuddin Nasution, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan turut memperluas penggunaan e-gate ini kepada negara lain yang dikategorikan kurang risiko antaranya Brunei, United Kingdom, New Zealand, Australia dan Japan.

“Inisiatif pembukaan e-gate kepada warganegara Singapura ini menunjukkan komitmen berterusan pihak berkuasa malaysia khususnya Jabatan Imigresen dalam membantu rakyat kedua-dua negara.

“Selain itu, jumlah laluan e-gate di BSI juga akan ditambah. Ketika ini jumlah e-gate yang ada ialah sebanyak 20 laluan masuk dan 20 keluar, jadi kita akan tambah lagi 20 laluan.

“Laluan pintu masuk ini, dulu ada waktu-waktu puncaknya, tetapi sekarang 24 jam waktu puncak, namun setakat ini kita belum dapat menjangka peratusan pengurangan kesesakan di Tambak Johor,” ujarnya.

Menurut Saifuddin Nasution lagi, pihaknya yakin dengan langkah penambahbaikan itu akan dapat mengurangkan kesesakan di kawasan terlibat khususnya di BSI yang merekodkan seramai lebih 200,000 pengembara pada waktu sehari.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI