PETALING JAYA – Berdebar menanti kelahiran cahaya mata ketiga, Saharul Ridzwan mengakui lebih selesa hanya mengetahui jantina permata hati pada hari bayi itu dilahirkan sebagai kejutan buat diri sendiri.
Katanya, detik melalui situasi antara teruja dan berdebar seperti yang dirasakan ketika menanti kelahiran anak kedua lebih dua tahun lalu menjadi kenangan manis untuk dikenang.
“Sebenarnya sekarang saya berdepan dua kali ganda debaran kerana isteri saya tengah menunggu hari apabila doktor maklumkan bila-bila masa sahaja dia akan bersalin.
“Saya teruja dan pada masa sama tak sabar hendak mengetahui jantina anak ketiga ini kerana saya suka perasaan terima kejutan,” katanya kepada Kosmo! Online.
Begitupun, pelakon filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang itu mengakui dihimpit rasa bimbang apabila masih belum mendapat keputusan sama ada isterinya bersalin secara normal atau menerusi pembedahan.
Katanya, doktor mengesahkan isterinya, Deena Amir dikesan mempunyai ketulan fibroid di dalam rahim yang memerlukan perincian teliti berhubung kaedah bersalin.
“Doakan semoga urusan proses bersalin akan dipermudahkan Allah SWT dan semuanya dalam keadaan selamat,” katanya.
Rumah tangga Saharul dan Deena dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad Luth Ali dan Fateema Azzahra. – KOSMO! ONLINE