GEORGE TOWN – Perantau di Pulau Pinang memilih pulang ke kampung halaman lebih awal semalam iaitu sehari sebelum cuti sekolah sempena sambutan Tahun Baharu Cina selama lima hari bermula hari ini.
Tinjauan Kosmo! di laluan keluar Jambatan Pulau Pinang dari Batu Uban ke Perai pada tengah hari semalam mendapati berlaku pertambahan kenderaan.
Jumlah kenderaan semakin meningkat pada pukul 5 petang selepas waktu pejabat.
Seorang anak perantau dari Ipoh, Perak, Juliana Romzi, 41, berkata, dia memohon cuti setengah hari semalam daripada majikan kerana enggan berdepan kesesakan lalu lintas.
“Pulang ke kampung lebih awal memang tak kalut. Jika saya dan suami sahaja tidak mengapa, ini dengan empat anak-anak kami yang masih kecil.
“Macam-macam ragam dibuat mereka sepanjang menempuh kesesakan,” katanya semalam.
Seorang lagi pekerja swasta, Aidil Abdullah, 39, berkata, dia akan memastikan tempoh pergerakan pulang ke kampung halaman di Negeri Sembilan seawal pukul 3 petang semalam.
“Saya perlu menunggu anak-anak pulang dari sekolah terlebih dahulu dan akan keluar dari rumah sebelum pukul 3 petang. Jika terlewat setengah jam atau sejam, memang kena redah kesesakan lebuh raya.
“Daripada tempuh perjalanan biasa selama hampir enam jam, nanti akan berlarutan sehingga tujuh atau lapan jam. Satu perkara yang amat perit,” ujarnya.