fbpx

Rakan sebak kenang ucapan ‘bye-bye’ terakhir sahabat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nurul Farahana (tiga dari kanan) tidak dapat menahan kesedihan atas kematian dua sahabatnya dan cuba ditenangkan rakan-rakannya ketika ditemui di Sungai Pinang, Balik Pulau petang tadi.

BALIK PULAU – Rakan karib dua remaja yang maut dalam kemalangan motosikal di Jalan Sungai Rusa di sini malam tadi sebak mengenangkan ucapan ‘bye-bye’ atau selamat tinggal daripada mangsa semasa menghantarnya pulang dari kelas tambahan petang semalam.

Nurul Farahana Mohd. Azwar, 17, berkata, dia tidak dapat melupakan pertemuan terakhir dengan Nur Fatimah Salamahullah,17, dan Nur Humaira Mohd. Zaini, 17, pada pukul 3 petang sebelum beberapa jam rakannya itu terlibat kemalangan.

Menurut pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pondok Upeh itu, dia juga tidak menyangka yang pertemuan tersebut merupakan momen terakhir mereka mahu meninggalkannya buat selama-lamanya.

“Sedih atas kehilangan rakan karib saya. Semalam, Nur Fatimah banyak mendiamkan diri dan kurang memberi respon ketika berbual di dalam kelas manakala Humairah pula tidak hadir ke sekolah.

“Saya pulang dari sekolah dengan membonceng motosikal yang ditunggang Nur Fatimah semalam. Kami singgah di rumah Humaira sebelum depa (mereka) teman saya pulang ke rumah. Depa tak banyak cakap hanya ucap bye-bye sambil tersenyum,” katanya kepada Kosmo! di sini.

Beritahu Nurul Farahana lagi, hubungan Nur Humaira Dan Nur Fatimah dilihat bertambah akrab sejak akhir-akhir ini dan mereka sering berdua semasa waktu rehat, datang dan pulang sekolah.

“Depa dua jadi tak banyak cakap, cuma gelak dan senyum sahaja sepanjang minggu ini. Sedangkan Nur Fatimah sebelum ini seorang yang ceria dan ada sahaja perkara yang hendak diceritakan.

“Saya dimaklumkan mengenai kejadian daripada ibu semasa hendak masuk tidur. Sebelum itu, saya dan Nur Fatimah sempat berbalas WhatsApp pada pukul 8.12 malam tadi yang kami akan memakai baju kurung ke kelas tambahan pagi ini,” ujarnya sebak.

Sementara itu, seorang lagi rakan kedua-dua mangsa, Nor Ain Nor Shahrisal,17, memberitahu, dia juga amat merasai kehilangan rakan kelasnya itu termasuk ada yang dikenalinya sejak di bangku sekolah rendah.

“Mereka berdua sangat peramah selain memiliki rupa paras yang cantik. Memang sedih dengan kehilangan mereka dan tiada lagi penyeri semasa di dalam kelas nanti,” jelasnya.

Terdahulu, media melaporkan dua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dilaporkan maut selepas motosikal yang ditunggangi mereka bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Sungai Rusa kira-kira pukul 10.10 malam tadi.

Nur Humaira disahkan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah manakala Nur Fatimah pula meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang.

Jenazah kedua-dua remaja terbabit masing-masing selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Khariah Masjid Sungai Rusa Dan Sungai Pinang selepas solat Zohor petang tadi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI