KUALA LUMPUR – Selepas melakar sejarah melakukan kejutan membantu skuad boling negara menamatkan kemarau 15 tahun pada Kejohanan Asia di Hong Kong, jaguh boling negara, Muhammad Rafiq Ismail kini bertekad untuk memburu emas pada Kejohanan Dunia di Kuwait November depan.
Kemenangan pingat emas skuad boling Malaysia pada Kejohanan Tenpin Boling Asia (ATBC) ke-26 baru-baru ini menjadi pencetus semangat kepada atlet berusia 25 tahun itu untuk memperbaiki pencapaian mereka pada Kejohanan Dunia tahun lalu apabila sekadar berpuas hati dengan pingat gangsa.
“Bagi Kejohanan Dunia pada November nanti, acaranya ialah team of four, di ATBC pula team of five, ia agak berbeza tetapi saya percaya momentum kami akan kekal sehingga kejohanan tersebut.
“Semasa acara berpasukan Kejohanan Dunia di Dubai 2021, kami hanya dapat pingat gangsa dan kali ini kami mahu melakukan kejutan untuk melakar kemenangan. Saya yakin kami mampu tuai pingat emas di sana,” katanya sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kelmarin.
Sebelum ini, Muhammad Rafiq bersama rakan sepasukan Syafiq Ridhwan, Mohd Syazirol Shamsudin, Tun Hakim, Timmy dan Ahmad Muaz mencipta sensasi apabila meraih pingat emas acara lelaki lima berpasukan dengan melakukan 7,323 jatuhan pin pada ATBC baru-baru ini.
Atlet kelahiran Selangor itu turut beraksi cemerlang mengungguli acara Masters lelaki selain skuad negara menyapu bersih acara All Event lelaki dengan dia membuat jatuhan pin tertinggi sebanyak 6,128 bagi meraih emas.
Kemenangan itu menyaksikan skuad negara menutup cabaran di Hong Kong dengan membawa pulang empat pingat emas, lima perak dan tiga gangsa.
Dalam pada itu, ketika diminta mengulas kejayaan skuad negara pada ATBC, Muhammad Rafiq, yang juga bekas juara dunia, nyata gembira memandangkan kegigihannya bersama rakan sepasukan berjaya membuahkan hasil.
Katanya, dalam tempoh terdekat, dia akan memberi fokus untuk menampilkan prestasi terbaik pada kejohanan Terbuka Malaysia yang berlangsung pada April nanti. – KOSMO! ONLINE