JOHOR BAHRU – Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) yang dilaporkan hilang selepas menunaikan solat Jumaat pada minggu lalu, ditemui di Terminal Bas Larkin Sentral, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pelajar tersebut, Mohd. Irfan Hakimi sudah dibawa pulang bapanya ke rumah mereka di Selangor.
“Orang hilang telah dijumpai di Stesen Bas Larkin pada pukul 5 petang semalam.
“Bapanya sudah bawa balik ke rumahnya di Selangor,” katanya ringkas kepada pemberita hari ini.
Semalam, Kosmo! melaporkan pelajar yang dikatakan hilang itu dikesan berada di sekitar daerah ini berdasarkan rekod transaksi kad debit miliknya.
Pelajar lelaki itu dilihat ada bersama seorang individu lain dipercayai rakannya yang dirakam hasil semakan televisyen litar tertutup (CCTV) di premis berhampiran.
Polis turut dilaporkan berjaya mengesan motosikal jenis Yamaha LC135 yang dinaiki pelajar berkenaan sebelum ditinggalkan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Bandar Tasik Selatan.
Bapa pelajar itu kemudiannya membuat laporan polis, Isnin lalu setelah gagal menghubungi pelajar tersebut.
Ditanya mengenai keadaan Mohd. Irfan Hakimi ketika ditemui, Raub memaklumkan pelajar itu berada dalam keadaan sihat.
“Ketika ditemui dia seorang diri dan dalam keadaan sihat,” jelasnya.-KOSMO! ONLINE