fbpx

Pearly-Thinaah ke suku akhir pada Terbuka India

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEARLY (kanan) dan Thinaah bangkit mencatat kemenangan ke atas Chia Hsin-Chun Hsun untuk melangkah ke pusingan suku akhir Terbuka India semalam.

SELEPAS tersingkir awal pada Terbuka Malaysia 2023 baru-baru ini, beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah dilihat sudah melupakan detik hitam tersebut dengan melangkah ke suku akhir Terbuka India, semalam.

Pearly-Thinaah bermula dengan baik di pusingan kedua, menewaskan pasangan Taiwan, Lee Chia Hsin-Teng Chun Hsun 21-14 sebelum lawan mereka bangkit mencatat kemenangan 21-16 di set kedua.

Di set ketiga, Pearly-Thinaah yang turun sebagai pilihan kelapan kejohanan mampu me­ninggalkan jauh Chia Hsin-Chun Hsun di awal saingan sebelum memuktamadkan kemenangan dengan 21-6.

“Saya rasa gembira dengan kemenangan hari ini, bagaimanapun masih banyak lagi perkara yang harus dipertingkatkan,” kata Thinaah sebaik tamat perlawanan.

Pertemuan Pearly-Thinaah yang berada di ranking kelapan dunia dengan Chia Hsin-Chun Hsun (ranking 32) di Dewan Tertutup K.D Jadhav itu adalah yang pertama antara mereka.

Pearly-Thinaah dijadualkan bertemu pemenang perlawanan antara pilihan ketiga dari Korea Selatan, Kim So Yeong-Kong Hee Yong dan gandingan Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi pada suku akhir nanti.

Pada Terbuka Malaysia, Pearly-Thinaah tersingkir seawal pusingan pertama, tewas kepada gandingan Bulgaria, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva 19-21, 14-21 dalam tempoh 31 minit.

Keputusan itu menyaksikan mereka tidak dapat menyamai pencapaian tahun lalu yang memperlihatkan mereka mara ke pusingan kedua sebelum ditewaskan gandingan China, Zhang Shu Xian-Zheng Yu 19-21, 14-21.

Selepas saingan di India, Pearly-Thinaah dijadualkan menyertai Indonesia Masters di Jakarta dari 24 hingga 29 Januari ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI