SELEPAS setahun memendam cerita, pelakon Park So-dam akhirnya mendedahkan pengalaman melawan kanser tiroid yang dihadapinya kepada umum. Dia disahkan menghidap kanser ketika menjalani penggambaran filem, Phantom.
Cerita So-dam, keterujaan berlakon filem berkenaan sedikit terganggu akibat kesihatan yang memburuk, bahkan turut mengalami ‘anxiety’.
“Saya tak tahu badan saya sakit. Saya cuma fikir itu ‘burnout’. Itulah kali pertama saya rasa takut turun ke set.
“Badan sudah beri signal tetapi saya rasa itu cuma masalah mental. Sehinggakan saya menangis selepas habis penggambaran sebab rasa bersalah,” ujarnya.
Tambah So-dam, semasa menunggu keputusan ujian biopsi, dia melakukan rakaman suara bagi filem tersebut tetapi kesihatannya semakin teruk.
“Keadaan saya sangat teruk sampaikan hampir hilang suara.
“Kalaulah lambat sedikit, mesti saya tak dapat buat rakaman,” katanya yang kini sudah kembali sihat.