fbpx

Op Selamat tidak ganggu, tapi mendidik pengguna jalan raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan Op Selamat dilaksanakan bertujuan bagi melancarkan lalu lintas, meminimumkan kes kemalangan dan mendidik pengguna jalan raya agar lebih berhemah.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim berkata, operasi yang dijalankan lebih 10 tahun itu bukan hanya memfokuskan pada hari perayaan Tahun Baharu Cina sahaja.

Bagaimanapun katanya, selepas tamat perayaan itu juga anggotanya akan ditempatkan di beberapa lokasi-lokasi yang telah dikenal pasti bagi tujuan bantuan dan keselamatan pada pengguna.

“Bermula 18 hingga 27 Januari, PDRM akan melaksanakan Op Selamat 19 di seluruh negara. Sepanjang operasi, Op Lancar turut dilaksanakan di kawasan ‘panas’ yang dijangka akan berlaku kesesakan aliran lalu lintas.

“Kejadian tersebut dijangka berlaku ekoran pergerakan orang ramai untuk pulang ke kampung dan kembali semula selepas perayaan nanti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mat Kasim, bagi mengurangkan beban kesesakan trafik di lebuh raya, jalan-jalan negeri dan perbandaran, PDRM mengaturkan sebilangan anggota dari kereta peronda (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan Rondaan Bit di lokasi berkenaan.

“Oleh itu, pengguna jalan raya diminta memainkan peranan sebagai pengguna yang berhemah dan mematuhi segala peraturan lalu lintas dengan tidak memotong barisan, menyalahgunakan lorong kecemasan atau memarkir kenderaan sehingga halang laluan.

“Kerjasama orang ramai sepanjang tempoh operasi akan memastikan keselesaan buat pengguna jalan raya dan akan memastikan  kelancaran aliran trafik,” katanya.

Terdahulu sebuah akhbar melaporkan, tindakan penguat kuasa mendirikan sekatan jalan raya semasa cuti Tahun Baharu Cina dijangka akan mengganggu perjalanan pengguna jalan raya di musim perayaan.

Laporan tersebut menyarankan agar pihak penguat kuasa menghentikan sementara waktu sekatan jalan raya bagi mengelakkan keadaan jalan semakin sesak pada hari perayaan itu. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI