fbpx

Nabila Huda risau obsesi wanita Melayu mahu kulit putih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PESAN Nabila kepada wanita terutama Melayu di luar sana agar menghargai dan mencintai diri sendiri termasuklah warna kulit asli.

PETALING JAYA – Pelakon Nabila Huda meluahkan kerisauan apabila melihat obsesi sesetengah wanita mendapatkan kulit putih tanpa memikirkan kesan yang akan terjadi pada masa hadapan.

Perkara tersebut diluahkan dalam ciapan Twitter miliknya dengan mempersoalkan mengapa kaum wanita terutamanya Melayu terlalu beria mahu menukar warna kulit asli.

“Kenapa ramai perempuan Melayu tidak suka dengan warna kulit sendiri? Ramai yang obsesi mahukan kulit putih.

“Kalian sedar atau tidak bahawa kulit warna asli sebenarnya menggambarkan wanita Melayu yang cantik,” kata pemilik nama lengkap Nabila Huda Suhaimi itu.

Dalam pada itu, Nabila, 39, turut memaklumkan kesan sampingan jika seseorang wanita mengubah warna kulit asli mereka.

“Rugi kalau kalian ubah warna tersebut kerana sekali ubah warna, bermacam-macam bahan kimia yang masuk ke dalam kulit.

“Bayangkan apabila sudah tua nanti, adakah akan kembali coklat seperti asli atau mungkin akan jadi kelabu sebab warna putih dibuat-buat tersebut sudah tamat tempoh,” ciapnya.

Sempat meninggalkan pesanan, Nabila atau lebih mesra disapa Abil mengingatkan kepada semua wanita Melayu untuk mengekalkan warna kulit sawo matang dan menghargai kecantikan diri sendiri.

“Kepada wanita di luar sana, jangan mudah terpengaruh dengan kecantikan tidak asli dalam media sosial dan hargailah kecantikan atau kekurangan yang ada pada diri anda.

“Kalau semua wanita Melayu berkulit coklat bertukar jadi putih, hilanglah keaslian kita sebagai wanita Melayu.

“Sejujurnya, kulit coklat inilah yang paling senang untuk dijaga dan tidak banyak kerenah. Kalian hanya perlu jaga untuk sihat dan bersinar,” ujar anak kepada penyanyi legenda Amy Search itu.

Begitupun, dia meyakinkan wanita Melayu tentang keunikan memiliki kulit sawo matang dan berbangga dengan dirinya sendiri.

“Kulit coklat paling cantik kalau terkena cahaya matahari sampai boleh bertukar menjadi coklat keemasan. Seksi.

“Brown sugar (gula perang) itu seksi. Saya sayang kulit saya dan bangga memilikinya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI