fbpx

Manuel Ott sertai KDA FC kerana Nafuzi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
OTT tidak berfikir panjang untuk menyertai skuad Sang Kenari kerana falsafah bola sepak yang diterapkan oleh Nafuzi ke dalam pasukan KDA FC. – KDA FC

MUDAH bekerjasama de­ngan pengendali baharu Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Nafuzi Zain menjadi salah satu faktor utama Manuel Ott bersetuju menyertai skuad Sang Kenari selaku pemain import ASEAN musim ini.

Sebagai rekod, Nafuzi dan Ott pernah menjalinkan kerjasama selama setahun ketika bersama skuad Terengganu FC (TFC) pada musim lepas sebelum kedua-dua individu itu mengambil keputusan untuk ‘tukar angin’ ke utara tanah air.

Kata Ott, falsafah bola sepak yang diterapkan oleh Nafuzi menyebabkan dia tidak berfikir panjang apabila menerima lamaran untuk menyertai skuad Sang Kenari pada tahun ini.

“Taktikal bola sepak moden diamalkan Nafuzi menggunakan formasi 4-3-3 sangat sesuai dengan gaya permainannya di bahagian tengah dan saya sa­ngat selesa dengan cara serta pendekatan tersebut.

“Jika diberikan tempoh bersesuaian, saya yakin bersama beliau, Kedah mampu menamatkan penantian kejuaraan yang ditunggu oleh penyokong setia kami.

“Namun, perlu diingat sebahagian besar pemain Kedah terdiri daripada muka-muka baharu dan sudah tentu, segalanya mengambil masa untuk kami serasi bersama serta memahami falsafah yang akan diterapkan Nafuzi,” katanya.

Pemain antarabangsa Fili­pina itu cukup teruja untuk mengharungi tahun ketiga dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) selepas bersama Me­laka United pada 2021 dan TFC musim lepas.

“Saya semakin selesa de­ngan kehidupan di Malaysia selain saingan juga bertambah kompetitif dari tahun ke tahun sejak saya bersama Melaka pada musim pertama.

“Pemain-pemain muda tempatan juga berada di tahap semakin baik dan saya rasa ini sesuatu yang baik untuk bola sepak Malaysia secara khusus terutama dengan perkemba­ngan ditunjukkan pada Piala AFF,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI